Sabtu, 19 Julai 2008

Penyamun mungkir janji pulang kad sim telefon

JOHOR BAHRU: Harapan seorang guru wanita untuk mendapat semula kad sim dan kad memori selepas telefon bimbitnya dilarikan dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah tadika di Taman Sri Skudai, di sini, pagi kelmarin, musnah apabila penyamun terbabit tidak menunaikan janjinya.

Sebelum ini, guru terbabit, K Jamuna, 21, berkata abangnya sempat berbual dengan seorang penyamun terbabit selepas kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu dan merelakan mereka mengambil telefon bimbit tetapi berharap supaya memulangkan kedua-dua kad berkenaan kerana banyak mengandungi maklumat penting.

Malah, penyamun terbabit yang pada mulanya mengeluarkan kata-kata kesat, mula berlembut sehingga sanggup bersumpah dengan nama ibunya dan berjanji akan memulangkan kedua-dua kad berkenaan dengan meletakkannya di dalam peti surat tadika itu, pagi semalam.

Bagaimanapun, bapa kepada seorang murid yang memaklumkan kejadian samun itu kepada polis, Abdul Rahman Abdullah, mengesahkan penyamun terbabit tidak menunaikan janjinya.

“Guru terbabit gagal mendapatkan semula kad berkenaan seperti dijanjikan penyamun itu. Apa yang jelas kejadian samun itu meninggalkan kesan tidak baik kepada mangsa termasuk anak saya.

“Nampaknya, penjenayah sekarang bukan saja semakin berani melakukan kegiatan pada siang hari, malah di kawasan orang ramai seperti tadika di perumahan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, lebih 50 murid di tadika Taman Sri Skudai, di sini, panik sehingga menjerit dan menangis apabila dua lelaki termasuk seorang daripadanya bersenjatakan pisau `Rambo' menyamun empat guru mereka menyebabkan kerugian kira-kira RM2,500.

Harian Metro Online: 19 Julai 2008

Tiada ulasan: