|
|
SEREMBAN 28 Julai - Peluh para pendidik di Sekolah Kebangsaan Tekir (SK Tekir) sentiasa mencurah, bilik darjah pula tidak selesa dan kemudahan pula serba terhad.
Namun impian untuk melihat anak Orang Asli yang belajar di sekolah ini tidak pernah diabaikan, malahan mereka mempunyai tugas besar untuk meletakkan imej mereka sehebat pelajar di bandar.
Sekolah yang menempatkan 50 pelajar Orang Asli dari suku kaum Temuan ini merupakan permata yang akan digilap oleh 10 guru yang berhadapan 1001 macam kisah suka dan duka dalam kawasan pedalaman, di mana mereka sahaja yang mampu bercerita.
Guru Besar SK Tekir, Haijiyah Radhuwan berkata, kebanyakan guru yang mengajar terpaksa menggunakan motosikal sejauh tiga kilometer merentasi laluan ladang kelapa sawit setiap hari untuk tiba ke sekolah tanpa mengira panas dan hujan demi pendidikan anak Orang Asli.
''Bila hujan, mereka belum tentu boleh keluar kerana laluan yang terpaksa diikuti akan dipenuhi air terutamanya di kawasan terowong berhampiran.
''Kami terpaksa duduk dan menunggu. Kalau hendak makan pun, kenalah masak sendiri dalam bilik yang disediakan. Tetapi guru di sini sentiasa 'muda' semangatnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun kata Hajiyah, permasalahan yang dihadapi tidak dijadikan alasan untuk mematahkan semangat mereka untuk mengajar malah lebih bermotivasi dan terus cekal menghadapi hari-hari mendatang dalam memastikan kecemerlangan pembelajaran anak-anak Orang Asli di sini.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan, Ahmad Sharifudin berkata, sepanjang menjadi seorang warga pendidik, inilah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah berkenaan yang sedikit sebanyak mengajarnya bagaimana untuk berhadapan dengan situasi yang berbeza.
Menurutnya, kaedah pembelajaran adalah berbeza memandangkan kawasan berkenaan agak terpencil dan kurang prasarana bagi menampung keperluan sedia ada seperti bilik darjah, bekalan elektrik dan kemudahan-kemudahan lain.
"Saya akui situasi yang dialami agak berbeza jika dibandingkan dengan mengajar di sekolah bandar.
"Secara keseluruhannya masih terdapat beberapa kelemahan fizikal sekolah ini termasuklah dari segi kemudahan seperti bilik darjah memandangkan kita terpaksa mengasingkan kelas dengan papan selain bekalan elektrik yang tidak mencukupi," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan selama lima tahun.
Manakala seorang guru, Mohd. Fairuz Nizam berkata, pengalaman mengajar di sekolah itu boleh diibaratkan antara langit dan bumi jika dilihat dari segi suasana pembelajaran kerana pelajarnya memerlukan pendekatan yang berbeza.
Katanya, dari segi disiplin pula, pelajar di sekolah itu tidak banyak kerenah seperti mana yang berlaku di sekolah lain kerana mereka 'pemalu' dan mendengar kata.
"Cuma masalahnya ketika musim buah-buahan, ada pula yang mengambil kesempatan menemani ibu bapa mereka ke kebun dan hutan untuk mengambil hasil,'' katanya.
Apa pun, kata Mohd. Fairuz, berada dalam kelompok Orang Asli, guru-guru perlu mendekati dan menjadi seperti mereka, selain harus memahami kehendak dan kemahuan mereka.
Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan