KUALA LUMPUR - Beberapa pegawai Kementerian Pelajaran mengunjungi Institut Perguruan Teknik Kuala Lumpur (IPTKL) di Jalan Yaacob Latif di sini semalam bagi menyiasat dakwaan pembayaran elaun bulanan pelajar sering lewat sehingga menyulitkan urusan harian mereka.
Siasatan itu juga ekoran kejadian pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) institut itu yang sebelum ini disimbah minyak hitam, dipercayai didalangi oleh pelajar yang berang dengan masalah tersebut.
Pengarah IPTKL, Zakiyah Idris ketika ditemui di pejabatnya semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai siasatan itu kerana ia telah dirujuk kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG) kementerian berkenaan.
"Hanya mereka (BPG) yang boleh memberikan kenyataan, saya tidak boleh komen kerana ia masih dalam siasatan," ujarnya.
Sementara itu, seorang pelajar yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka sudah lama menanggung beban kelewatan pembayaran elaun bulanan itu.
Beliau hairan kerana setahunya, ia tidak berlaku di institut latihan perguruan yang lain.
"Pelik juga sebab rakan-rakan saya yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sama seperti saya di institut lain tidak menghadapi masalah seperti ini," katanya.
Kosmo Online: 8 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan