Isnin, 21 Julai 2008

Samseng 2 beranak

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Pergi mampus! Matilah kau!” Itulah ayat biadab diulang berkali-kali seorang pelajar sebuah sekolah menengah yang mengamuk berikutan tindakan seorang guru wanita menahan adik lelakinya di bilik disiplin kerana melanggar peraturan sekolah.

Pelajar lelaki tingkatan empat itu turut mengadu kepada bapanya yang datang dengan berang sebelum menampar pipi kiri seorang guru disiplin lelaki yang cuba menenangkan ketegangan hingga menyebabkan bibir bengkak dan berdarah.

Difahamkan, insiden berkenaan disebabkan bapa pelajar berumur 40-an itu tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit menahan anaknya kerana kesalahan tidak memakai baju dalam berwarna putih seperti ditetapkan peraturan sekolah.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 8.45 pagi Rabu lalu, pelajar berusia 14 tahun itu dibawa guru wanita berkenaan ke bilik disiplin kerana melanggar peraturan sekolah.

Selepas memaklumkan kepada bapanya, abang pelajar terbabit segera ke bilik disiplin sebelum ‘naik minyak’ terhadap guru wanita terbabit dengan mengeluarkan kata kesat dan memaki-hamun.

“Bapa pelajar terbabit dan rakannya sampai 25 minit kemudian sebelum menarik keluar anak lelakinya dari bilik disiplin.

“Guru wanita itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana bapa pelajar berkenaan bersikap kasar terhadapnya. Dia turut mencari seorang guru disiplin lelaki bagi mendapatkan penjelasan,” katanya kepada Harian Metro di sini semalam.

Sumber itu berkata, selepas diketahui dia dicari, guru lelaki terbabit mahu berbincang mengenai kes disiplin pelajar tingkatan dua itu.

“Bagaimanapun, perbincangan tidak berjalan lancar lalu menyebabkan berlaku pertelingkahan sesama mereka.

“Bapa pelajar itu tiba-tiba menampar pipi kiri guru lelaki itu sehingga bibir bengkak dan berdarah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua guru terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, guru lelaki itu, ketika dihubungi, berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih terperinci mengenai kejadian yang menimpanya.

“Ada beberapa saksi melihat kejadian yang saya ditampar bapa pelajar berkenaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Mengulas kejadian terbabit, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

Polis juga mengambil keterangan guru lelaki terbabit.

Harian Metro Online: 21 Julai 2008

Tiada ulasan: