Rabu, 30 Julai 2008

5,000 lagi guru ikuti program Khas Pensiswazahan di OUM

Oleh Norliza Abdullah

TAHUN ini, Kementerian Pelajaran menghantar 5,000 lagi guru mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru Secara Terbuka dan Dalam Talian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Presiden OUM, Prof Tan Sri Anuwar Ali, berkata usaha itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kualiti guru sebagai peneraju utama sektor pendidikan.

Katanya, sebelum ini 30,000 guru dihantar mengikuti program sama peringkat ijazah sarjana muda, antara dalam bidang Pendidikan Sains dan Matematik serta Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Sambil menjelaskan separuh daripada jumlah guru itu sudah menamatkan pengajian, beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi kaedah e-pembelajaran dan separuh masa, iaitu pada hujung minggu.

“Ini bagi membolehkan guru terbabit mengikuti pengajian mengikut kesesuaian masa tanpa menjejaskan tugas hakiki mereka.

“Bagi pengambilan tahun ini, 200 daripada guru terbabit adalah dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Program khas ini membabitkan guru kawasan berkenaan kerana ia lebih khusus untuk pendidik yang mengajar di tempat yang kurang kemudahan infrastruktur,” katanya.

Mengenai pemilihan OUM sebagai tempat penganjuran program berkenaan, Anuwar berkata, ia membuktikan pengajian ditawarkan universiti itu berkualiti dan memenuhi keperluan sistem pendidikan negara.

Katanya, kaedah yang menggabungkan pembelajaran kendiri, pertemuan bersemuka serta secara dalam talian dengan masa anjal memudahkan guru mengikuti pengajian.

Berita harian Online: 29 Julai 2008

Tiada ulasan: