Sabtu, 19 Julai 2008

Guru hebah keaiban murid

GURU seharusnya mengajar dan membimbing pelajar, bukan mencampuri urusan keluarga mereka. Ini yang saya ingin tekankan berikutan tindakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Johor Bahru yang mencampuri hal peribadi pelajar.

Guru terbabit memberitahu perkara yang tidak diketahui anak saudara saya berhubung masalah dihadapi ibu bapanya. Guru itu mempertikaikan kredibiliti abang dan kakak ipar saya mendidik anaknya.

Apakah hak guru itu menceritakan hal peribadi hal keluarga kami hingga sanggup menghina abang dan kakak ipar saya depan rakan sekolah anak saudara saya. Keadaan itu menyebabkan anak saudara saya malu untuk ke sekolah, apa lagi berhadapan dengan rakannya.

Untuk perhatian ini adalah kejadian kedua menyebabkan abang saya diaibkan. Perkara pertama berlaku pada awal persekolahan membabitkan anak bongsu abang saya tidak didaftarkan di sekolah itu kerana ingin menjaga status sekolah dalam peperiksaan UPSR. Anak bongsu abang saya adalah golongan orang kurang upaya (OKU) yang menghadapi masalah pembelajaran.

Saya berharap agar pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran menasihati guru berkenaan agar tidak mencampuri urusan keluarga muridnya. Kalau ingin memberi nasihat, bukan dalam kelas.

Tindakan guru menceritakan keaiban orang lain menjatuhkan air muka pelajar.

Ingat tugas guru adalah membimbing pelajar bukannya menjatuhkan air muka.

PAKCIK KECEWA,
Johor Bahru, Johor.

Berita Harian Online: 19 Julai 2008

Tiada ulasan: