Rabu, 16 Julai 2008

UKM bincang strategi tingkatkan pengajaran guru

PERBEZAAN tahap kepintaran setiap individu dalam bidang akademik menjadi tumpuan utama pendidik meningkatkan kemahiran serta kepakaran mereka dalam memastikan golongan sasar menerima pengajaran disampaikan.

Pendidik juga perlu lebih peka terhadap keperluan pelajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menyedari hakikat itu dan keperluan murid yang pelbagai, Pusat Kecemerlangan Kepelbagaian Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kepelbagaian Pelajar 2008 (ICEDL08) selama dua hari, mulai 26 Ogos ini.

Program disertai 300 peserta tempatan dan antarabangsa itu akan dirasmikan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Hotel Marriott, Putrajaya.

Pensyarah UKM, Prof Puan Sri Dri Rohaty Mohd Majzub, berkata pihaknya akan mengumpul sarjana dalam dan luar negara untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman bagi mencari kaedah terbaik memastikan pendidik sentiasa inovatif dalam melaksanakan tugas.

Beliau yang juga pengerusi program berkenaan berkata, dalam hal ini pendidik perlu menghayati kebolehan serta kemahiran setiap individu supaya apa yang disampaikan diterima pelajar pelbagai lapisan masyarakat dan tahap pencapaian akademik.

Beliau berkata, pendidik juga perlu peka terhadap persekitaran supaya proses menyampaikan maklumat dan ilmu berjalan lancar sejajar hasrat kerajaan menjadikan pelajaran sebagai instrumen menyatupadukan kaum serta merapatkan jurang pelajar bandar dan pedalaman.

Di samping itu, katanya, perubahan zaman termasuk perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan tugas guru semakin berat kerana turut dituntut menguasai kemahiran itu bagi memenuhi keperluan semasa.

Dri Rohaty berkata, ICELD08 menjadi medan membincangkan masalah terutama membabitkan pelajar taraf akademik rendah dan datang daripada keluarga serba kekurangan.

“Masalah dalaman pelajar juga perlu diambil kira dalam menilai taraf pencapaian akademik mereka.

Perkongsian maklumat bertujuan menjana resolusi untuk diguna pakai dalam program latihan guru serta pelaksanaan dasar lebih telus.

“Faktor kepelbagaian ini perlu menjadi agenda rasmi untuk reformasi pendidikan dan latihan guru kerana mereka perlu tahu perbezaan budaya kanak-kanak sejak hari pertama masuk ke bilik darjah pertama,” katanya.

Persidangan itu terbuka kepada semua warga pendidik, penyelidik sosial, penyedia polisi pendidikan, pekerja sosial dan badan bukan kerajaan. Keterangan lanjut layari www.ukm.my/iceld08.

Berita Harian Online: 15 Julai 2008

Tiada ulasan: