Khamis, 31 Julai 2008

74,657 pendidik ambil ujian penguasaan BI

PUTRAJAYA: Seramai 74,657 guru yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menduduki Penilaian Tahap Profisiensi (PTP) bagi mengukur pencapaian mereka dalam penguasaan kemahiran bahasa Inggeris.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata PTP menguji tahap penguasaan bahasa Inggeris guru terbabit dalam tiga aspek kemahiran, iaitu penulisan, pendengaran dan pertuturan.

Beliau berkata, guru berkenaan menduduki PTP dalam kemahiran penulisan dan pendengaran pada 28 Jun, diikuti pertuturan pada 5 Julai lalu, serentak di semua sekolah terpilih menjadi pusat penilaian itu.

"Keputusan penilaian itu dijangka keluar dalam tempoh dua minggu lagi. Penguasaan diukur berdasarkan pencapaian Tahap Lima dan Tahap Empat yang dikategorikan sebagai memiliki kecekapan tinggi, Tahap Tiga (sederhana), manakala Tahap Dua dan Tahap Satu (rendah).

"Penilaian ini bukan untuk menentukan guru terbabit lulus atau gagal, sebaliknya membantu mereka mengenal pasti tahap pe-nguasaan supaya dapat diberi penambahbaikan dan bimbingan bersesuaian, selain melihat keberkesanan program latihan yang sudah dilaksanakan.

"Justeru, guru terbabit dalam pelaksanaan PPSMI memang digalak untuk menduduki penilaian itu yang akan diadakan dari semasa ke semasa di bawah pengendalian Bahagian Pendidikan Guru (BPG)," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Akhbar ini pada Mei lalu melaporkan Kementerian Pelajaran sudah selesai melaksanakan kursus English for the Teaching of Mathematics and Science (ETeMS) membabitkan kira-kira 122,000 guru mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Program latihan itu dijalankan sejak 2002 sehingga tahun lalu selaras pelaksanaan PPSMI.

Sementara itu, Alimuddin berkata, Persidangan Meja Bulat PPSMI kali kedua akan diadakan pada 18 dan 19 Ogos ini, selepas yang pertama membabitkan penyertaan pegawai Kementerian Pelajaran dan universiti berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini yang akan dipengerusikannya antara lain membabitkan penyertaan kesatuan guru, badan bukan kerajaan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Malah, ada perancangan untuk mengadakan persidangan meja bulat kali ketiga yang terbuka kepada ahli politik pula. Semua langkah ini bertujuan mendapatkan input, maklum balas, pandangan dan maklumat bersepadu daripada semua pihak untuk diteliti sebelum keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI dibuat nanti," katanya.

Berita Harian Online: 30 Julai 2008

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sampai ke hari ni keputusan ptp masih belum dikeluarkan...

Tanpa Nama berkata...

sampai hari ini juga...

Tanpa Nama berkata...

napa belum lagi?tak sabr2 da nak tahu tahp sendiri bis tu ari yang tak fasih bi pun boleh dapat 4 saya yg blh sikit2 pun dpt 2 ja...kali ini bagus kerana ada ujian face to face takde peniruan..hehe :p

Tanpa Nama berkata...

betul-betul sy tak puas hati yg ujian 1st tu sbb penjaga peperiksaan tu kasi paper sy kpd org belakang copy abis tapi deorang lulus sampai 3 , 4 saya pula 2 geramnya.....

Tanpa Nama berkata...

bagi pendapat saya jika kementerian betul2 hendak tau bakat guru sampai mana sepatutnya ujian face to face interveiw adalah perlu kerana dari saya kita boleh tahu samaada guru tersebut layak tak mengajar etems ini?klu dalam paper saja buang masa kerana terlampau banyak peniruan ooooo...geng...

Tanpa Nama berkata...

keputusan PTP sudah keluar pada minggu lepas.

Tanpa Nama berkata...

kamu dapat berapa kali ni?