Ahad, 27 Julai 2008

NUTP tolak syor penilaian berdasar tempat

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan kerajaan untuk memasukkan penilaian berdasarkan tempat kerja dalam ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi menilai kecekapan guru.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata keputusan itu adalah hasil daripada maklum balas yang diterima menerusi bengkel dianjurkan pihaknya bagi mengetahui pandangan mereka mengenai sistem itu (penilaian berdasarkan tempat kerja dalam PTK).

Katanya, menerusi bengkel dilaksanakan cawangan NUTP di seluruh negara itu, guru menolak sistem penilaian berdasarkan tempat kerja kerana ia tidak begitu relevan terutama ketika warga pendidikan dalam proses menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

“Ia dianggap tidak relevan kerana hanya membebankan guru terutama bakal dipertanggungjawabkan menjalankan tugas menilai berikutan dalam sistem itu, penilaian dilakukan ketua jabatan di sekolah atau ketua mata pelajaran.

“Ia jelas membebankan guru kerana diberi tugas tambahan yang tidak ada kena mengena dengan sistem pendidikan. Tugas ini sepatutnya diberikan kepada Jabatan Sumber Manusia Kementerian Pelajaran” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Berita Harian Online: 27 Julai 2008

Tiada ulasan: