Oleh Khairina Yasin
NEGARA Islam wajar mempertimbangkan cadangan penubuhan Majlis Pendidik Guru dan Badan Akreditasi Pendidikan Guru Dunia Islam bagi mewujudkan jaringan dan kerjasama antarabangsa dalam usaha memartabatkan pendidikan guru di negara terbabit.
Cadangan itu menjadi agenda perbincangan hari ketiga Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru dalam Dunia Islam 2008 anjuran Institusi Pendidikan (Insted) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang bermula kelmarin.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata jika direalisasikan, penubuhan kedua-dua badan itu membolehkan pelbagai permasalahan dan isu berkaitan pengajaran serta pendidikan guru dibincangkan dan diselesaikan secara global.
Katanya, cadangan penubuhan Badan Akreditasi contohnya mampu memberi peluang guru negara Islam berkongsi kepakaran dan pengetahuan dalam pelbagai perspektif berkaitan pedagogi.
“Kecemerlangan bidang pendidikan sentiasa ditunjangi profesion perguruan dan sebagai guru, mereka perlu berusaha meneroka ilmu baru bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran insaniah, selain mendapat idea dan kaedah baru sejajar perkembangan pendidikan masa kini.
“Justeru, persidangan ini diharap mampu membawa pembaharuan bukan saja kemahiran pedagogi, malah meningkatkan keupayaan guru mencipta peluang, ketahanan dan kebolehan mengadaptasikan aspek pengajaran yang sentiasa berdepan dengan cabaran,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pendidikan Guru dalam Dunia Islam di Kuala Lumpur, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin. Hadir sama, Pengarah Insted, Prof Madya Dr Ahmad Marzuki Zainuddin.
Persidangan tiga hari itu dianjurkan Insted dengan kerjasama BPG dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco).
Lebih 300 peserta dari 20 negara Islam menyertai persidangan bertujuan membangunkan rangkaian kerjasama global antara guru, pembuat dasar dan pentadbir dalam bidang pendidikan guru negara Islam.
Razali berkata, persidangan itu disifatkan amat signifikan sebagai platform menyatukan tokoh pendidikan, ilmuwan dan sarjana bagi membentuk gagasan idea baru dalam usaha mengukuhkan arena pendidikan guru negara Islam.
Katanya, pelbagai maklumat akan menjadi suntikan baru kepada pengubah dasar pendidikan serta guru khasnya untuk meningkatkan keupayaan memartabatkan profesion perguruan.
Berita Harian Online: 16 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan