Rabu, 9 Julai 2008

Bajet sekolah kluster mula diagih

oleh Khairina Yasin

kayrina@bharian.com.my

KEMENTERIAN Pelajaran sudah mengagihkan sebahagian daripada peruntukan khas RM500,000 kepada kumpulan pertama 30 sekolah kluster bagi memantap dan memperkasakan institusi terbabit mengikut bidang kebitaraan masing-masing.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, berkata pengagihan itu dibuat berpandukan kertas cadangan sekolah terbabit yang diluluskan Jawatankuasa Penilai Kertas Cadangan Sekolah Kluster.

Katanya, fasa pertama pengagihan membabitkan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan yang dipohon dan bakinya akan diturunkan kepada sekolah terbabit dalam tempoh terdekat.

“Setiap sekolah perlu membelanjakan peruntukan itu dalam tempoh tahun semasa mengikut apa yang diluluskan panel penilai, selain perlu menepati justifikasi, anggaran kos dan perancangan program yang terkandung dalam kertas cadangan sekolah masing-masing.

“Maksudnya, jika peruntukan diberi pada tahun ini, sekolah mesti membelanjakannya dalam tempoh sehingga akhir tahun mengikut kelulusan yang ditetapkan panel penilai,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Sambil menegaskan kepentingan peruntukan itu dimanfaatkan untuk membangun dan memantapkan niche area sekolah terbabit, Siti Zaleha berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan setiap sekolah mematuhi segala aspek pengurusan dan perbelanjaan peruntukan itu.

Katanya, kewujudan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster adalah usaha penambahbaikan yang dilaksanakan Kementerian bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan sekolah kluster lebih sistematik dan terancang.

Berdasarkan penelitian, katanya, sekolah terbabit banyak memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan akademik dan kokurikulum bagi menonjolkan kemampuan masing-masing dalam kelompok cemerlang itu.

”Kami baru saja bermesyuarat dengan pengetua sekolah kluster dan mereka diingatkan agar mematuhi segala prosedur, selain akur dengan peraturan termasuk surat pekeliling dan perbendaharaan berkaitan peruntukan khas itu.

”Malah, kami juga berusaha membantu dan mengupayakan pengetua terbabit kaedah terbaik menguruskan peruntukan itu,” katanya.

Sambil menjelaskan peruntukan itu diturunkan terus kepada sekolah tanpa melalui jabatan pelajaran negeri atau pihak lain, beliau berkata, kaedah itu disifatkan sebagai new ways of working yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

Siti Zaleha berkata, kaedah itu bagaimanapun memerlukan kluster terbabit lebih berhati-hati dalam mengurus dan mentadbir peruntukan yang diberi mengikut kelulusan ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya sudah menerima kertas cadangan kumpulan kedua sekolah kluster sebagai permohonan mendapatkan peruntukan khas itu.

“Kita sedang meneliti kandungan kertas cadangan itu dan proses kelulusan dijangka lebih cepat bagi membolehkan sekolah melaksanakan setiap program yang dirancang dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Berita Harian Online: 9 Julai 2008

Tiada ulasan: