amar@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam yang dicadangkan kerajaan sebelum ini bermula awal bulan depan tidak akan dilaksanakan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata keputusan itu yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan ditolak sebahagian besar daripada 1.2 juta kakitangan awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Berikutan itu, katanya, gaji kakitangan awam akan dibayar sebulan sekali.
“Apabila mereka dan Cuepacs sudah memikirkan tidak perlu gaji dibayar dua kali sebulan, maka kerajaan mengambil keputusan mematuhi kehendak mereka dan mengekalkan kaedah pembayaran gaji seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007, di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Selepas mengumumkan kenaikan harga minyak bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah bagi membantu rakyat menangani krisis kenaikan harga barangan ekoran kenaikan bahan api.
Salah satu cadangan yang ditimbulkan ialah pembayaran gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam bagi membantu mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak kakitangan kerajaan dan Cuepacs yang meminta kerajaan supaya membatalkannya.
Ini berikutan jika dilaksanakan, kakitangan awam akan memperoleh pendapatan minimum pada akhir bulan berikutan ada potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta yang lain.
Mohd Sidek berkata, keputusan yang dibuat itu juga menunjukkan kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan peka dengan masalah yang dihadapi kakitangan awam.
“Ini menunjukkan kerajaan dan Perdana Menteri peka dengan kemahuan mereka. Apabila mereka sendiri tidak mahu buat apa kita teruskan,” katanya.
Harian Metro Online: 3 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan