Selasa, 22 Julai 2008

Bertindak secara profesional

KUALA LUMPUR: “Jika hasil siasatan polis mendapati guru yang didakwa bersalah berada di pihak benar, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan saman terhadap bapa pelajar yang didakwa menampar guru berkenaan.

“Ini bagi menjamin keselamatan guru di kawasan sekolah dan ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki kawasan sekolah dan menyerang guru jika ada perkara yang mereka tidak berpuas hati,” kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, ketika dihubungi di sini, semalam

Beliau berkata, ibu bapa perlu melalui prosedur yang sudah ditetapkan dengan menemui pengetua sekolah terlebih dulu untuk meminta kebenaran bertemu seseorang guru dan bukannya terus 'menyerang' guru itu.

Katanya, semua pihak baik guru atau ibu bapa perlu bertindak secara profesional dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar dan tidak terbawa oleh emosi.

“Ini berlaku pada guru lelaki, bagaimana pula jika ia terjadi pada guru wanita?. Kita tidak mahu guru kena serang dan sekolah menjadi kawasan yang tidak selamat lagi bagi mereka,” katanya.

“Kita mahu polis menyiasat perkara ini dengan teliti dan jika terbukti guru terbabit di pihak benar, kita akan mengambil tindakan menyaman bapa pelajar itu,” katanya.

myMetro : 22 Julai 2008

Tiada ulasan: