Khamis, 31 Julai 2008

Guru ratu pondan kena tindakan pentadbiran

KUALA LUMPUR: Guru yang ditahan menyertai pertandingan ratu cantik pondan di sebuah resort di Kelantan, Jumaat lalu, akan dikenakan tindakan secara pentadbiran sebelum Kementerian Pelajaran membuat keputusan lanjut berdasarkan hasil perbicaraan kes itu di mahkamah syariah nanti.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan secara pentadbiran yang boleh diambil terhadap guru berkenaan termasuk digantung tugas atau diberi amaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu akan diambil selepas menerima laporan bertulis daripada Jabatan Pelajaran Kelantan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Saya sudah meminta Pengarah Pelajaran Kelantan, Ismail Mohd Noor, memanggil dan mendapatkan pengakuan guru terbabit serta maklumat kejadian daripada Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) untuk dimasukkan dalam laporan bertulis itu.

"Laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa tatatertib kementerian untuk menentukan tindakan secara pentadbiran yang perlu diambil terhadap guru terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar Ahad lalu melaporkan guru berkenaan ialah antara 16 peserta ratu cantik pondan ditahan penguat kuasa Jheaik di sebuah resort terkemuka di Telong, Bachok, Jumaat lalu.

Pondan yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika sedang beraksi dengan pakaian wanita seperti gaun malam, kebaya dan pakaian mandi di sebuah dewan di resort itu.

Kelmarin, Mahkamah Rendah Syariah Bachok menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara tujuh hari terhadap empat pondan berkenaan selepas mengaku bersalah kerana berpakaian menyerupai perempuan.

Alimuddin berkata, beliau sudah mendapat pengesahan secara lisan daripada Ismail bahawa guru terbabit adalah pegawai perkhidmatan pelajaran di bawah kementerian itu.

Berita harian Online: 30 Julai 2008

Tiada ulasan: