Khamis, 10 Julai 2008

Pengsan didenda guru Sejarah


ANGAH mengakui malu didenda oleh guru Sejarah sehingga pengsan di dalam kelasnya di Hulu Telemong, Hulu Terengganu kelmarin.


HULU TERENGGANU - Malu dan sakit sampai pengsan.
Pengalaman itu dialami seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di Hulu Telemong, di sini, selepas didenda oleh guru lelaki yang mengajar subjek Sejarah kelmarin.

Pelajar yang ketika itu berpuasa bukan sahaja ditumbuk di bahagian belakang badan, malah dihukum ketuk ketampi sebanyak 50 kali sehingga menyebabkannya pengsan.

Menceritakan kejadian itu, pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Angah berkata, guru terbabit 'naik angin' apabila beberapa pelajar di kelasnya termasuk dirinya tidak menyiapkan satu kerja rumah.

Katanya, secara tiba-tiba guru itu melepaskan kemarahan dengan menghampiri tempat duduknya lalu menumbuk belakang badannya dengan kuat.

"Saya terkejut dan rasa sakit sebab cikgu tumbuk, rasa nak tercabut jantung. Maklumlah dia lelaki, penumbuknya kuat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Ping di sini semalam.

Tidak cukup dengan tumbukan itu, guru tersebut mengarahkannya berdiri di depan kelas dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 50 kali.

"Saya malu sebab dihukum macam tu. Tapi dengan muka yang tebal saya buat juga dan selepas beberapa kali ketuk ketampi saya pitam sebab letih berpuasa," katanya yang tidak bersekolah semalam ekoran kejadian itu.

Ujarnya, guru tersebut sebelum ini pernah bertindak 'keterlaluan' semasa menghukum pelajar lain.

Kosmo Online : 10 Julai 2008

Tiada ulasan: