Isnin, 14 Julai 2008

Turunkan kelas pelajar bermasalah tegar

SAYA ingin membuat satu cadangan kepada pihak Kementerian Pelajaran tentang cara menangani masalah disiplin di kalangan pelajar yang dikategorikan sebagai 'tegar.'

Pada masa ini, walaupun pihak sekolah dibenarkan membuang pelajar dari sekolah, pelajar-pelajar ini sentiasa boleh memohon masuk semula ke sekolah yang sama kerana Perlembagaan Persekutuan mewajibkan pendidikan selama 11 tahun (di sekolah rendah dan menengah) untuk semua warganegara.

Perlembagaan ini tidaklah salah, tetapi apabila pelajar ini dibenar masuk semula ke sekolah yang sama, mereka akan mendapat peluang untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan yang sama bermasalah seperti mereka dan dapat menunjukkan lagak kepada guru 'apa cikgu boleh buat pada saya?' Oleh itu, pelajar ini tidak akan berubah walaupun seratus kali dibuang.

Oleh itu, saya mencadangkan agar pelajar yang dibuang sekolah, tidak boleh masuk semula ke sekolah yang sama. Mereka haruslah memohon untuk masuk ke sekolah lain yang jarak sekurang-kurangnya dua atau tiga kilometer dari sekolah lama.

Ini sebenarnya strategi serampang dua mata; pelajar itu akan diasingkan daripada kawan-kawan di sekolah lama, dan ibu bapa akan merasa perit untuk menghantar anak ke sekolah akibat harga minyak yang melambung tinggi. Oleh itu, ibu bapa akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga disiplin anak mereka dan bekerjasama dengan guru di sekolah.

Dan apabila mereka masuk ke sekolah baru, saya mencadangkan agar pelajar ini diturunkan satu tahun. Ini kerana pelajar-pelajar bermasalah seperti ini biasanya mempunyai masalah akademik juga.

AKMAL FAIRUZ

Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 14 Julai 2008

Tiada ulasan: