Isnin, 28 Julai 2008

Kementerian siasat guru ratu pondan

Oleh Mohamed Farid Noh

mfarid@bharian.com.my

Jabatan Pelajaran tentu status

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menunggu laporan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor atau jabatan pelajaran berkaitan sebelum mengambil tindakan ke atas guru yang ditahan menyertai pertandingan ratu cantik pondan di sebuah resort di Kelantan, kelmarin.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah itu perlu bagi membuktikan status sebenar individu yang ditahan itu yang mendakwa guru di sekolah kerajaan.

"Difahamkan individu yang ditahan menyertai pertandingan itu mendakwa berasal dari Johor Bahru. Kementerian akan meminta laporan daripada jabatan pelajaran negeri itu secepat mungkin bagi memastikan individu itu benar-benar seorang guru.

"Kita bimbang individu ini mungkin sengaja mahu melepaskan diri dengan mendakwa guru. Jika terbukti individu itu guru di sekolah kerajaan, Jawatankuasa Tatatertib kementerian akan bersidang bagi menentukan pertuduhan dan tindakan sewajarnya yang akan diambil ke atasnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.'

Semalam Berita Minggu melaporkan, seorang guru antara 16 peserta ratu cantik pondan ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), di sebuah resort terkemuka di Telong.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JHEAIK, Mohd Abdul Aziz Mohd Nor, berkata pondan yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika sedang beraksi dengan pakaian wanita seperti gaun malam, kebaya dan pakaian mandi di sebuah dewan di resort itu.

Berita harian Online: 28 julai 2008

Tiada ulasan: