Sabtu, 19 Julai 2008

Sains, Matematik dalam BIdi luar bandar ditingkat

PUTRAJAYA 18 Julai - Rumusan awal Persidangan Meja Bulat mengenai Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mendapati proses pengajaran mata pelajaran itu di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu ditingkatkan berbanding sekolah-sekolah di bandar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, selain itu, peserta persidangan turut mencadangkan kajian dibuat untuk menambah baik kecekapan guru, kemudahan prasarana dan program sokongan diperluaskan.

''Persidangan juga merumuskan strategi pelaksanaan PPSMI pada masa akan datang perlu dimantapkan khususnya bagi peringkat sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Siri pertama persidangan meja bulat PPSMI yang dihadiri oleh tokoh-tokoh akademik, penyelidik dan pensyarah serta wakil Majlis Pengetua dan Guru Besar telah diadakan pada 14 hingga 16 Julai lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Alimuddin berkata, siri kedua persidangan PPSMI akan diadakan bulan depan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

''Persidangan akan datang boleh disertai oleh orang ramai dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau melalui e-mel alimuddin.dom@moe.gov.my jika mahu menyertainya," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Pelajaran yakin dapat mengotakan janjinya dalam menyediakan peluang pendidikan yang terbaik kepada rakyat.

Katanya, pengumuman kajian separuh penggal kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) menunjukkan kementerian itu berada di landasan yang baik dan memenuhi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

''Saya masih yakin apa yang kita janjikan kepada orang ramai dari segi peluang dan akses pendidikan dapat diteruskan.

''Kita akan terus menerangkan kepada orang ramai tentang pelaksanaan dan kejayaan kita dalam melaksanakan dasar-dasar sedia ada," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Julai 2008

Tiada ulasan: