Isnin, 28 Julai 2008

Guru bukan siswazah tidak diketepikan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

choo@nstp.com.my

Kementerian jamin junior DG41 tak langkau DG44

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan bahawa guru junior tidak mungkin dapat melangkau guru bukan siswazah senior gred DG44 sekiranya mereka terus mencatat prestasi baik dalam perkhidmatan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata perkara itu tidak akan berlaku walaupun kerajaan memberi insentif kepada guru DG41 berupa tiga tahun perkhidmatan mereka dalam gred DGA29 diambil kira sebagai setahun pengalaman mengajar.

Sebaliknya, beliau berkata, peluang masih terbuka luas kepada guru gred DG44 untuk memperoleh kenaikan pangkat ke pelbagai jawatan lebih tinggi seperti pengetua, guru cemerlang dan pegawai di institut pendidikan guru.

"Apabila perjawatan guru terbabit pada gred DG44 sudah disahkan, lazimnya selepas enam bulan dan mencatat prestasi bagus dalam kerja, mereka akan mendapat sokongan ketua jabatan untuk naik ke peringkat seterusnya.

"Peluang kenaikan pangkat mereka ke gred DG48 adalah cepat, hanya menunggu kekosongan. Justeru, guru berkenaan diminta jangan bimbang, bersabar dan memberi tumpuan kepada tugas supaya prestasi kerja terus meningkat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebagai meminta kerajaan prihatin dan peka terhadap pandangan serta keluhan guru gred DG44 berhubung pemberian insentif kepada kumpulan guru gred DGA29 dan juga DG41.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya menerima banyak keluhan daripada kumpulan guru bukan siswazah dalam gred DG44 yang mendakwa tidak puas hati dengan pemberian insentif itu.

Lok berkata, guru senior berkenaan dianaktirikan dalam dua keadaan, iaitu hadiah kenaikan gaji ditawarkan kepada kumpulan guru gred DGA29 ke DG41 serta tiga tahun perkhidmatan diambil kira sebagai setahun pengalaman mengajar, tidak diberikan kepada mereka.

Katanya, kedua-dua perkara itu menyebabkan guru junior melangkau guru senior.

Pada majlis pelancaran Hari Guru 2008, 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan beberapa insentif kepada warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan juga memperkasa profesion keguruan di negara ini.

Antara lain, kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan kenaikan gred secara 'time based' selepas berada dalam skim siswazah, iaitu dari gred DG41 ke DG44.

Mengenai kemungkinan guru gred DG44 turut menikmati insentif serupa dengan tempoh khidmat mereka dalam skim bukan siswazah diambil kira sebagai pengalaman mengajar bagi tujuan kenaikan gred seterusnya pula, Alimuddin berkata, perkara itu belum dibincangkan.

"Bagaimanapun jika NUTP ada cadangan, mereka boleh mengemukakannya untuk dibincang," katanya.

Berita Harian Online: 28 Julai 2008

Tiada ulasan: