Khamis, 14 Mei 2009

Martabat perguruan perlu diangkat semula

MENJELANG tarikh keramat 16 Mei setiap tahun, profesion perguruan akan diangkat martabatnya dengan diadakan sambutan Hari Guru di seluruh negara.

Tiada siapa dapat menafikan betapa pentingnya institusi perguruan sebagai pembina negara dan bangsa.

Guru adalah golongan kedua paling penting selepas ibu bapa dalam mendidik dan membentuk jati diri kita semua.

Namun, sejak akhir-akhir ini profesion perguruan menerima tekanan pelbagai sudut.

Dengan beban tugas yang semakin bertambah dan kerenah pelajar serta ibu bapa yang pelbagai, menjadikan profesion perguruan semakin kurang sengat berbanding dulu.

Kita percaya dan yakin, jika guru dapat membentuk setiap anak kita, pasti kurang masalah merempit, ragut dan menagih dadah. Profesion itu memang mulia dalam memartabatkan warga negara berilmu dan sahsiah tinggi.

Oleh itu, profesion perguruan sewajarnya diangkat martabatnya ke tahap sepatutnya agar dihormati, dikagumi dan dihargai seperti suatu ketika dulu.

Guru terdahulu memang sangat dihormati dan dihargai.

Jika dulu, menjadi kebiasaan seorang guru merotan dan memarahi pelajar, kini tindakan itu akan mengundang padah kerana kemungkinan menghadapi risiko diherdik oleh pelajar berkenaan.

Lebih teruk lagi, ada ibu bapa yang mengamuk menyerang guru di sekolah, bahkan menyaman guru.

Kini, peranan guru sekadar mengajar dan tidak mempunyai kebebasan yang mencukupi untuk mendidik generasi muda menjadi manusia yang lebih berguna pada masa depan. Maka, seharusnya guru diberi peluang, kebebasan dan ruang dalam membentuk generasi muda.

Setiap pihak terutama ibu bapa, berilah kepercayaan dan keyakinan kepada guru.

Tiada guru yang ingin mencubit, mengherdik, merotan dan memarahi anak kita jika mereka tidak melakukan kesalahan. Ingatlah, suatu ketika dulu, kita pernah melalui zaman persekolahan dan diajar oleh guru yang sentiasa sabar dengan kerenah kita.

Janganlah terlalu memanjakan anak sehingga menyebabkan guru tidak dapat memainkan peranan mereka yang sepatutnya.

Jika -anak dimarahi, bertanyalah kepada guru apakah kesalahan mereka dan berterima kasih kepadanya kerana menegur anak kita serta mohonlah maaf atas kesalahan yang dilakukan oleh anak kita.

Kepada Kementerian Pelajaran, perkasakan profesion perguruan.

Kembalikan zaman kegemilangan profesion perguruan seperti yang dinikmati guru terdahulu.

Dapatkan bakal guru yang benar-benar berkualiti dan jadikanlah profesion ini sebagai profesion pilihan utama untuk mereka.

Selain itu, janganlah gentar melakukan sesuatu transformasi untuk kebaikan anak kita.

Bentuklah generasi sekarang dengan lebih kreatif dan inovatif dan bukan sekadar cemerlang peperiksaan.

Kajilah sedalam-dalamnya zaman kegemilangan profesion perguruan suatu ketika dulu.

Sempena Hari Guru ke-38 bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ yang akan disambut di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu, sudah sewajarnya ia menjadi titik tolak kepada seluruh pihak dalam memartabatkan profesion perguruan.

Selamat Hari Guru untuk seluruh warga perguruan di negara ini.



ROHAMI SHAFIE,

Bekas Pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR)

Seremban, Negeri Sembilan.

Berita Harian Online: 14 Mei 2009

Tiada ulasan: