TARIKH 16 Mei 2009 adalah hari keramat bagi kaum guru. Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran di Kuala Terengganu dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa".
Malang sekali guru dimalukan dengan drama televisyen yang disiarkan oleh TV3, pukul 10.00 malam 16 Mei 2009. Drama mengisahkan guru bernama Farhana yang kononnya bertugas di sebuah sekolah menengah di pedalaman di Negeri Sembilan.
Pada pengamatan saya yang bertugas sebagai guru selama 31 tahun, pakaian cikgu Farhana di dalam drama itu bukanlah pakaian seorang guru di dalam kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran. Pakaian tersebut amat sesuai dipakai untuk ke kelab malam.
Kepada pengarah dan penerbit drama berkenaan, janganlah dimalukan kaum guru dengan contoh pakaian yang tak masuk akal sewaktu bertugas. Kami ada etika berpakaian ketika bertugas dan kami juga ada akal fikiran yang dapat menilai yang mana baik yang mana buruk untuk dipakai.
Saya ingin bertanya, apakah pengarah dan penerbit drama ini tidak pernah melihat pakaian kaum guru sewaktu bersekolah dahulu?
Kami kaum guru bukan harapkan sanjungan dan pujian tapi janganlah dimalukan sebegitu rupa. Saya amat sedih kerana apa yang digambarkan dalam drama tersebut begitu terpesong dengan tema hari guru yang dilaung-laungkan pada tahun ini.
GURU SAKO
Jelebu, Negeri Sembilan
Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan