ALOR SETAR – “Akibat kesalahan orang lain, saya dirotan lebih 10 kali dari pinggang hingga betis.”
Demikian dakwa Mohd. Firdaus Mohd. Asri, 15, pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Hutan Kampung di sini yang mengalami lebam di sebelah kiri pinggang, paha dan betis akibat dirotan oleh guru, kelmarin.
Dakwanya lagi, dia dirotan berpunca daripada rakannya yang dikatakan melakukan perkara tidak senonoh ketika bersembang dengan seorang pelajar perempuan di kedai makan di hadapan sekolah itu Rabu lalu.
“Semasa kawan saya berbual-bual dengan pelajar perempuan itu, saya dan enam lagi rakan turut berada di situ dan untuk dijadikan saksi, kami telah dipanggil untuk berjumpa dengan seorang guru lelaki di pejabat pada keesokannya (kelmarin).
“Cikgu suruh saya beritahu apa yang dilakukan pasangan itu di situ dan bila saya beritahu tiada apa yang berlaku kerana mereka hanya bersembang di kedai makan tersebut, dia (guru) terus marah,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Satria di sini semalam.
Tambahnya lagi, guru itu kemudian mengambil sebatang rotan berukuran kira-kira satu meter panjang lalu menyebat pinggang hingga ke betisnya lebih 10 kali sebatan.
Lima lagi rakan lain yang ketika itu tidak bercakap apa-apa mengenai kejadian itu turut dirotan sebanyak dua kali.
Kosmo Online: 23 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan