Isnin, 18 Mei 2009

Bekas guru hasilkan buku Reformasi Minda Guru


Zulfadzli Haron menunjukkan buku panduan Reformasi Minda Guru yang ditulisnya di Festival Hari Guru Kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Terengganu yang berakhir semalam.


KUALA TERENGGANU 17 Mei - Seorang bekas guru, Zulfadzli Haron, menggunakan pengalamannya selama 15 tahun dalam bidang pendidikan untuk menghasilkan sebuah buku yang boleh memberi motivasi kepada golongan pendidik mempertingkatkan profesion mereka.

Buku Reformasi Minda Guru hasil kajian Zulfadzli yang kini menjadi perunding motivasi itu memberi panduan bagaimana untuk mencintai profesion tersebut selain mengatasi kebosanan dan permasalahan kerja.

Berharga RM30, ia diterbitkan sendiri oleh beliau sempena sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Zulfadzli ketika ditemui berkata, buku itu ditulis selepas beliau melakukan kajian dan pemerhatian selama 15 tahun.

''Saya juga pernah bertugas sebagai guru dan tugas seorang guru itu adalah perkara rutin yang dilakukan dari sehari ke sehari.

''Guru itu lama-kelamaan akan menjadi bosan mengakibatkan prestasi kerjanya semakin berkurangan dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pelajaran anak-anak kita,'' katanya di sini hari ini.

Justeru, katanya, beliau memperkenalkan empat pendekatan untuk guru menangani dan mengelak masalah itu.

''Pendekatan pertama melibatkan jiwa atau asas seorang guru itu manakala pendekatan kedua pula melibatkan kriteria profesion tersebut.

''Isu-isu pendekatan pula menjadi pendekatan ketiga dan pendekatan keempat melihat kepada langkah untuk menjadi guru unggul,'' ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga dikupas mengikut beberapa tajuk iaitu harga diri, tanggungjawab, hala tuju, jati diri, keikhlasan dan integriti.

''Buku ini akan membantu seseorang guru itu menjiwai profesion ini dengan lebih mendalam dan menjadikannya seorang guru yang terbaik antara terbaik,'' katanya.

Beliau berharap para guru yang membaca buku itu akan mendapat inspirasi untuk menulis pemerhatian dan pengalaman mengajar mereka.

''Usaha ini akan membantu para guru dalam pengajaran mereka selain penghasilan buku ini akan memperkayakan lagi industri penulisan kita,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagaimana caranya untuk mendapatkan buku ini?

Zulfadzli Haron berkata...

buku ini boleh didapati dengan melayari blog http://reformasimindaguru.blogspot.com.
Sila layari blog tersebut dan hantarkan emailuntuk pembelian.
Buku ini tidak terdapat di pasaran.
terima kasih