|
|
KUALA TERENGGANU 16 Mei - Tugas guru sekarang lebih mencabar apabila perlu berdepan dengan pelajar yang lebih pandai dan berpengetahuan berikutan mereka terdedah kepada kemajuan teknologi maklumat (IT).
Ia diakui tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2009, Datuk Abdul Rahim Tahir, 63; Phua Seng Tiong, 64; dan Shahul Hamid Mydin Shah, 60.
Kata mereka, bagi memastikan guru mampu melaksanakan peranan dengan lebih cemerlang, golongan itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.
Abdul Rahim, yang juga penerima anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu dan Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2008 berkata, guru-guru perlu mewujudkan iklim sihat di sekolah.
"Jika persekitaran yang baik diwujudkan di sekolah, saya yakin masalah disiplin akan dapat ditangani," ujarnya.
Beliau bercakap kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis sambutan itu Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Sementara itu, Abdul Rahim bertanggungjawab memperkenalkan pemakaian seragam baju kurung dan tudung di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun pada 1972 dan seterusnya ke seluruh Terengganu apabila dilantik sebagai Pengarah Pendidikan negeri pada 1989.
Penganugerahan Tokoh Guru Kebangsaan 2009 itu membolehkan ketiga-tiga penerima membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan, pingat emas dan plak.
Bagi Shahul Hamid, meskipun peranan guru dalam mendidik pelajar semakin mencabar, namun ia lebih mudah jika mereka menganggap murid-murid seperti anak sendiri.
"Apa lebih penting, guru perlu menjalankan tugas dengan baik terutama dalam menyatupadukan rakyat," ujarnya.
Anak kelahiran Perak yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1969 ini memberitahu, guru perlu mengawal emosi dan tidak menunjukkan kelakuan buruk kepada pelajar.
Bagi Seng Tiong, kerjaya sebagai guru adalah profesion yang terbaik baginya.
"Permohonan saya menjadi guru pernah ditolak dan ketika itu saya fikir impian saya sudah berkecai.
"Bagaimanapun saya menukar fikiran untuk memohon sekali lagi dan sejak itu saya tidak lagi menoleh ke belakang," kata Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2005 ini.
Menurut Seng Tiong, dia memilih menjadi guru kerana suka melihat seseorang insan berjaya dalam kehidupan dan selepas bersara pada 2000, beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama membantu pesalah buang daerah.
Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat dianugerahkan Tokoh Khas Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, manakala Tan Sri Asiah Abu Samah pula menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2009.
Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan