KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sekumpulan ahli akademik dan profesional sudah memulakan kajian terhadap cadangan kerajaan untuk mengehadkan jumlah subjek yang boleh diambil pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kajian itu yang dijalankan atas arahan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lepas, akan melibatkan semua aspek.
"Kita kena ambil kira semua dan melihatnya dari semua dimensi. Bagaimana kita membandingkan tahap kecemerlangan pelajar dalam hal ini?
"Adakah dapat 21 A itu cemerlang, tetapi yang skor A dalam semua sembilan matapelajaran yang diambil oleh seorang lagi pelajar tidak pula cemerlang? Kalau dia cemerlang sebab ambil banyak matapelajaran yang bertindih, tidak bawa apa-apa maknanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelatih Jurukur Bahan Kolej Tunku Abdul Rahman-Gamuda di sini Rabu.
Wee berkata kementerian juga sedang menjalankan kajian kenapa ada pelajar yang mahu mengambil banyak subjek dalam SPM dan tujuan mereka berbuat demikian.
BERNAMA: 27 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan