SAYED MAHADZIR gembira bersama isterinya Che Zahnim Hashim (kanan) dan anaknya Sharifah Intan Munirah selepas pengurniaan Tokoh Guru Kedah 2009, kelmarin. |
ALOR SETAR: Bekas wartawan sambilan Berita Harian dan Harian Metro, Sayed Mahadzir Syed Omar semalam dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 2009 berdasarkan penglibatan dan jasa beliau dalam bidang pendidikan sejak 35 tahun lalu.
Beliau yang mula menceburkan diri sebagai wartawan sambilan sejak tahun 1996 hingga 2001 amat meminati bidang penulisan hingga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya, hadiah Sastera 1976 menerusi cerpen 'Si Labah Tua', hadiah Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi antologi bersama dan hadiah pertama Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan Tahun 2003 menerusi karya "Citra Seorang Perdana Menteri".
Sayed Mahadzir berkata, walaupun melakukan kerja-kerja kewartwanan ketika masih bertugas sebagai guru beliau masih mampu membahagikan masa dan tidak pernah sekalipun mengabaikan muridnya yang kini ramai mengisi jawatan penting dalam pelbagai sektor termasuk kerajaan dan swasta.
Malah Katanya, tugas sambilan sebagai wartawan itu banyak membantu dirinya menjadi seorang yang peka terhadap perkembangan semasa terutama pendidikan sehingga secara tidak langsung membantu mempertingkatkan tahapa penguasaan kerjaya tetapnya dalam bidang pendidikan.
"Saya menceburi bidang kewartawanan ini bukan semata-mata kerana mahu mencari pendapatan tambahan tetapi kerana minat... bagi saya bidang kewartawanan ini banyak membantu membentuk keperibadian diri kerana seorang wartawan perlu peka dan berdispilin tinggi untuk berjaya.
"Namun pada tahun 2001 saya terpaksa meninggalkan bidang ini kerana saya dinaikkan pangkat je jawatan guru penolong kanan yang memerlukan lebih tumpuan kerana terbabit secara langsung dengan pentadbiran sekolah," katanya selepas Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2009 yang itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama, Sultanah Hamimah Haminudin dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Shahidan Abd Rahman.
Sementara Sultan Abdul Halim, bertitah penghormatan terhadap guru sepertimana yang dituntut dan diiktiraf oleh masyarakat perlulah seiring dengan kesedaran golongan pendidik itu sendiri agar mereka berusaha dengan lebih gigih bagi memartabatkan bidang kerjaya sebagai guru.
Baginda bertitah, hakikat bahawa zaman akan terus berubah dan tamadun akan terus dibina oleh manusia di seluruh dunia, apatah lagi dengan kemunculan konsep globalisasi yang diasaskan oleh kemajuan sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat.
"Secara sedar masyarakat kita turut dipengaruhi oleh nilai-nilai peradaban baru yang mampu menggugat legasi moral dan akhlak masyarakat kita.
"Beta yakin masyarakat yang kita impikan bersama-sama adalah masyarakat yang beretika iaitu masyarakat yang mampu menilai antara kebaikan dan keburukan," titah baginda.
Berita Harian Online: 23 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan