Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Tindakan berani seorang guru wanita berusia 51 tahun bergelut dengan dua penjenayah yang meragut beg tangannya membolehkan seorang daripada peragut terbabit ditahan, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa dari Kampung Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, berjalan bersendirian menuju ke keretanya di Jalan Banggol di sini, kira-kira jam 2.45 petang.
Kemudian, beg yang digalas di bahu kiri mangsa diragut dua lelaki menaiki sebuah motosikal dari belakang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata tindakan wanita itu yang memegang kuat beg berkenaan menyebabkan seorang daripada peragut itu tersungkur dan terjatuh.
“Jeritan mangsa meminta pertolongan membolehkan orang ramai membantu menahan suspek. Suspek yang ditahan berusia 24 tahun berasal dari Kampung Pasir Tinggi, Marang manakala rakannya melarikan diri.
“Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, kira-kira jam 3.45 petang. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, peragut itu turut lebam di muka akibat dibelasah orang ramai yang berang dengan tindakannya meragut beg mangsa.
Menurutnya, suspek yang bekerja sendiri memiliki dua rekod jenayah lampau dan kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Beliau memuji sikap orang ramai yang segera membantu mangsa hingga tertangkapnya suspek.
myMetro: 13 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan