ESOK 16 Mei adalah Hari Guru. Memang sudah sewajarnya satu hari diperuntukkan sebagai mengingati dan mengenang jasa guru-guru yang telah banyak berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak-anak menjadi insan yang cerdik pandai serta berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Tentunya satu hari yang dikhususkan kepada para guru ini tidak mencukupi jika hendak dibandingkan dengan jasa bakti yang telah mereka curahkan sepanjang masa, sehingga kadang kala terpaksa mengorbankan kebahagiaan, kebajikan dan kepentingan diri sendiri kerana tuntutan tugas.
Ada waktunya guru lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan bersama anak murid dibandingkan dengan waktu mereka di rumah atau bermesra dengan anak dan kaum keluarga sendiri.
Inilah guru yang bagai lilin membakar diri tetapi ada kalanya khidmat mereka bagai tidak dihargai. Tunjuk ajar dan bimbingan mereka kepada anak-anak bangsa ada kalanya dibalas dengan maki hamun, kekasaran fizikal malah sehingga dibawa ke mahkamah.
Seringkali ibu bapa tidak puas hati jika anak dimarahi atau didenda oleh guru, lantas mengambil tindakan melulu tanpa cuba mencari atau memahami punca kenapa ia berlaku.
Sebarang tindakan atau teguran guru tentulah ada sebabnya. Justeru ibu bapa tidak harus mudah melatah menyalahkan guru tanpa menyelidiki adakah anak-anak mereka baik tingkah laku, patuh pada guru dan peraturan sekolah. Pada mereka anak mereka sahaja yang betul.
Seharusnya mereka yang berkelakuan seperti ini hendaklah mencermin diri adakah mereka sendiri telah memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dan menyemai akhlak mulia dalam diri anak-anak? Harus diingat anak-anak lebih lama berada bersama mereka di rumah dibandingkan dengan waktu mereka di sekolah bersama guru.
Guru pula mempunyai tanggungjawab mengawasi ratusan pelajar. Perhatian mereka tidak boleh tertumpu kepada individu tertentu sahaja.
Tidak dinafikan ada kalanya guru keterlaluan cara terhadap anak murid. Namun kes terpencil ini tidak seharusnya dijadikan andaian umum sehingga menenggelamkan nama baik keseluruhan guru lain yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
Malah selalunya sikap keterlaluan guru ini banyak didorong oleh sikap pelajar sendiri. Misalnya tidak membuat kerja rumah, melanggar disiplin, merosakkan harta benda dan sebagainya. Adakah salah jika guru memberi nasihat atau peringatan dan mengenakan hukuman yang menasabah kepada murid atau pelajar yang bersikap sedemikian?
Namun ada pelajar dan murid yang tidak boleh menerima teguran atau hukuman, lalu bertindak balas keterlaluan terhadap guru. Dalam keadaan seperti inilah guru boleh hilang perimbangan diri dan bertindak di luar kelaziman. Janganlah kita lupa guru juga adalah manusia biasa yang ada perasaan. Kesabaran mereka ada batasnya.
Ada ibu bapa yang hanya pandai mengkritik atau menyalahkan sekolah dan guru. Tetapi mereka ini tidak pernah pun peduli berjumpa dan berbincang dengan pihak sekolah dan guru jika ada masalah timbul. Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun tidak pernah menunjukkan muka. Inilah pertanda orang yang tidak ambil berat persekolahan anak-anak mereka.
Sewajarnya ibu bapa dan masyarakat umum turut berganding bahu dan membantu guru melaksanakan tugas mereka. Jika ada kerjasama ini saya percaya bukan sahaja tugas guru mendidik anak bangsa menjadi lebih mudah tetapi kesan baiknya akan sama dirasai oleh ibu bapa dan murid-murid sendiri.
Berapa ramai pulakah antara anak murid yang telah didik oleh guru-guru ini ingat dan menghargai jasa mereka? Berapa ramaikah yang masih sudi berkirim salam, berhubung telefon bertanya khabar atau mengirim kad ucapan pada hari jadi atau hari perayaan?
Guru-guru tidak mengharapkan ini semua daripada bekas anak-anak murid mereka kerana mereka mencurahkan ilmu dengan tulus ikhlas. Namun sebagai insan yang berbudi bahasa dan mengenang jasa tidak ada salahnya sekali sekala kita menghargai guru kita pada waktu-waktu tertentu.
Sudah tentu guru akan berasa sangat gembira jika orang yang pernah mereka didik ingat pada mereka. Guru-guru tidak mengharap wang ringgit kita, tetapi ingatan mesra itu lebih berharga daripada segala-galanya.
Kepada guru-guru yang selama ini begitu gigih menabur bakti, terutama di kawasan-kawasan pedalaman, tiada kata secantik bahasa atau gambar seindah lukisan dan tiada juga gunung intan yang dapat menyamai nilai bakti yang dicurahkan. Hanya Allah Yang Maha Esa sahaja dapat memberikan ganjaran setimpal terhadap pengorbanan guru.
Doa dan harapan saya juga para guru akan terus gigih berbakti dan dapat menempuhi segala kepayahan yang datang bersama tugas.
Sesungguhnya anda semua telah dapat membuktikan hujan atau panas, susah atau senang, segala rintangan tetap tabah dihadapi dan dilalui. Rintangan tidak mematahkan semangat meneruskan bakti.
Kepada semua guru yang sangat saya sanjungi, terimalah ucapan Selamat Hari Guru, ucapan ikhlas dari lubuk hati. Pengorbanan para guru tetap subur dan dikenang abadi. Jasamu terpahat di hati.
MURID LAMA,
Kuala Lumpur
Utusan Malaysia Online: 15 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan