Isnin, 18 Mei 2009

Sekolah perlu jadi acuan 1Belia, 1Malaysia

KONSEP 1Belia adalah konsep yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Tujuannya bagi membantu mencapai gagasan Satu Malaysia. Kini konsep 1Belia, 1Malaysia adalah antara gagasan yang penting di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pendekatan 1Belia, 1Malaysia adalah satu konsep yang perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini. Memang tepat sekali saranan itu bahawa 1Malaysia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya belia tidak bersatu.

Jika belia tidak menunjukkan komitmen untuk bersatu, mencari persamaan biarpun berlainan bangsa, agama dan budaya, segala yang dibangunkan pada hari ini akan musnah akibat longgarnya jati diri, perpaduan dan semangat cinta kepada negara.

Oleh kerana masa depan negara sangat bergantung kepada generasi belia pada hari ini, saya merasakan bahawa konsep 1Belia, 1Malaysia perlu untuk diterapkan di peringkat sekolah lagi.

Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan belia yang bersatu dan bergerak seiringan aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama.

Sekolah sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi masa depan yang progresif dan seimbang serta menjadi kekuatan bangsa Malaysia.

Penerapan konsep 1Belia, 1Malaysia di peringkat sekolah boleh dilaksanakan dengan beberapa cara seperti pengukuhan pemahaman dan amalan konsep Rukun Negara; mengaktifkan persatuan-persatuan yang melibatkan kepelbagaian kaum dan agama, serta pengukuhan amalan-amalan murni seperti sifat hormat-menghormati dan saling bantu-membantu.

Jika kita boleh memastikan belia yang dianggarkan berjumlah 12 juta berkongsi wawasan yang serupa, ia akan menjadi kekuatan yang mampu memacu negara ke arah masa depan yang gemilang.

Penerapan konsep 1Belia, 1Malaysia di peringkat sekolah juga perlu menerima sentuhan secara langsung daripada Kementerian Pelajaran. Tidak mustahil bagi kementerian ini untuk merangka program-program yang seiringan dengan konsep tersebut, menyalurkan sumber yang diperlukan serta mewujudkan pegawai khas yang menyelaraskan program-program yang berkaitan di peringkat sekolah.

Sekiranya sekolah mampu memantapkan generasi belia daripada segi semangat cintakan negara, pembentukan karakter-karakter yang positif dan keinginan yang kuat untuk berpadu tenaga bagi membangunkan negara, nescaya apabila remaja tamat zaman persekolahan dan mencapai usia yang lebih dewasa, mereka akan mampu melihat rasional betapa pentingnya semangat setia kawan di kalangan kepelbagaian bangsa dan agama.

Adalah lebih mudah untuk mendidik dan mendedahkan kepentingan konsep 1Belia, 1Malaysia kepada golongan remaja. Golongan remaja lebih mudah dipupuk dan dibentuk serta lebih mudah menerima perubahan-perubahan.

Justeru, sangat sesuai sekali jika pembentukan sahsiah dan karakter remaja dapat dipupuk ketika berada di alam persekolahan lagi. Ini adalah kerana sekolah menyediakan persekitaran yang membolehkan berlakunya hubungan dan interaksi secara aktif.

Jika konsep 1Belia, 1Malaysia dapat diketengahkan dengan jelas kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar sekolah, tidak mustahil negara akan dapat dipacu ke arah negara maju dalam erti kata yang sebenarnya.

Dengan perkataan lain konsep 1Belia, 1Malaysia mampu untuk membezakan aspirasi negara kita dengan lain-lain negara di Asia.

Konsep 1Belia, 1Malaysia mampu menyediakan ubat yang paling mujarab kepada penyakit-penyakit sosial terutamanya yang berkaitan dengan pergeseran sesama belia akibat perbezaan budaya, agama dan kaum.

DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID,

Pensyarah Kanan,

Fakulti Pengurusan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara, Perlis

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009

Tiada ulasan: