Oleh Zainor Said
HARI Guru yang bakal disambut esok, sekali lagi mengingatkan kita akan besarnya jasa serta pengorbanan insan yang bergelar pendidik.
Hari Guru bukan saja harus diraikan warga pendidik, malah semua pihak terutama golongan pelajar, mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan serta ibu bapa harus sama-sama menghayatinya, walaupun ia adalah hari yang istimewa khusus buat golongan guru.
Bagi pelajar yang masih bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti yang diimpikan setiap ibu bapa.
Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa, selagi ia tidak bertentangan dengan jalan kebaikan. Jarang berlaku dalam sejarah peradaban manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan, walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi ia adalah semata-mata demi kebaikan.
Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah telah meletakkan diri mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru.
Setiap insan tentunya mahu mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.
Pada hari ini, segala kenangan sewaktu berada di sekolah akan kembali bermain di fikiran ramai insan dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan betapa besarnya peranan guru.
Bagi ibu bapa pula, rasa hormat kepada guru harus sentiasa ditanam dalam jiwa mereka agar ia menjadi contoh dan ikutan anak masing-masing agar tidak bersikap biadap terhadap guru. Setiap ibu bapa yang tahu menghormati dan menghargai jasa guru, tidak mungkin menyemai sifat benci terhadap guru dalam jiwa anak-anak, tidak kira apa bangsa sekali pun.
Jika mereka sanggup menyerahkan amanah mendidik anak mereka kepada guru, tiada sebab ibu bapa curiga dengan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal, sebaliknya merekalah orang paling bangga dan gembira apabila anak didik mereka berjaya .
Setiap kali Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei diraikan, pelbagai acara diadakan termasuk perayaan di peringkat kebangsaan dengan menampilkan pelbagai anugerah sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.
Di peringkat sekolah pula, pelajar serta ibu bapa tidak melepas peluang untuk menyatakan penghargaan dengan memberikan cenderamata kepada guru kesayangan mereka. Apa yang penting bukanlah nilai hadiah yang diberikan, tetapi ia menjadi tanda ingatan dan simbolik penghargaan pelajar terhadap jasa guru yang mengajar mereka selama ini.
Amalan itu merupakan nilai murni yang harus dipupuk, ditanam dan disuburkan dalam jiwa setiap pelajar sejak kecil. Jika ia terus menjadi amalan, kita yakin perasaan kasih terhadap guru mereka akan terus subur sehingga mereka meninggalkan alam persekolahan.
Sikap memuja dan mengagungkan golongan tertentu secara berlebihan sehingga menyebabkan mereka lupa terhadap golongan yang lebih banyak berjasa dalam mendidik sehingga lahir sebagai insan kamil dan berjaya tidak harus menjadi budaya. Guru sebenarnya tidak mengharapkan sebarang ihsan atau balasan daripada anak didik mereka. Apa yang akan membanggakan mereka dan rasa dihargai adalah kejayaan anak didik dalam pelajaran dan keluar menjadi manusia berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Guru biasanya tidak mudah lupa dengan bekas pelajarnya yang berjaya walaupun setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya pelajarlah yang sering lupa terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Tanyalah pada diri sendiri, masihkah ingat kepada guru yang pernah mengajar kita suatu ketika dahulu. Adakah masih bertemu dan menziarahi mereka (jika masih ada) apabila pulang ke kampung halaman atau mendoakan kesejahteraan mereka seperti kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita.
Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, Sekolah Menengah Simpang Ampat dan Bukit Mertajam High School.
Jutaan terima kasih juga kepada semua guru yang pernah dan masih mendidik anak-anak saya di Sekolah Kebangsaan St Mary dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary.
Tidak lupa juga kepada semua guru yang terbabit dalam program pendidikan anjuran Unit Pendidikan, Berita Harian, khususnya menerusi program Klinik UPSR, Seminar PMR dan Seminar SPM. Sekalung penghargaan kepada semua guru yang terbabit.
Berita Harian Online: 15 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan