Selasa, 26 Mei 2009

Tetapkan tanda aras pendidikan


MUHYIDDIN Yassin sambil diperhatikan Noorezan Bapoo Hashim (kiri) bersalaman dengan delegasi asing selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia kali ke-48
di Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam.


PULAU PINANG 25 Mei - Pemimpin dan warga pendidik diminta menetapkan satu penanda aras bagi menilai prestasi pendidikan negara selaras dengan perubahan drastik yang berlaku dalam ekonomi dan pembangunan teknologi rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penekanan khas itu harus diberikan untuk mencari jalan memperbaiki aspek inovasi dan kreativiti dalam sistem pendidikan.

Menurut beliau, ia sejajar dengan objektif negara untuk menyedia dan membangunkan modal insan yang kompetitif melalui sistem pendidikan.

''Melalui satu penanda aras, ia dapat membantu kerajaan dan pembuat polisi untuk membimbing sistem pendidikan kita mengikut acuan yang betul ke arah kecemerlangan dan kejayaan," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berucap pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ke-48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara kali kedua di Batu Feringghi di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noorezan Bapoo Hashim.

Muhyiddin juga mengajak warga pendidik supaya bersama-sama membulatkan tekad dan memperteguhkan muafakat untuk mendidik anak bangsa supaya memahami serta menghayati asas perpaduan negara selaras dengan cita-cita 1Malaysia.

Katanya, pengetua dan guru sebagai pemimpin di sekolah wajar mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menyemai serta menyuburkan semangat perpaduan di kalangan pelajar.

Justeru menurut beliau, program-program kenegaraan seperti Hari Kebangsaan perlu diberikan nafas baru untuk membangkitkan semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan pelajar.

Di samping itu, Muhyiddin berkata, kegiatan kurikulum dan kokurikulum perlu dirancang secara teliti untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan yang mendalam tentang sejarah kemerdekaan dan asas pembinaan negara.

"Ini akan memastikan pelajar dapat menghargai asas-asas perpaduan kaum yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu," katanya.

Beliau juga berharap persidangan berkenaan bukan saja membincangkan kaedah terbaik bagi memupuk semangat perpaduan, malah menyediakan satu mekanisme khusus untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan sekolah.

Katanya, perancangan yang teliti perlu dilakukan oleh kepimpinan sekolah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan membolehkan guru memacu kecemerlangan pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Muhyiddin berkata, kerajaan amat prihatin dan menghargai jasa kepimpinan sekolah terutama pengetua yang terbukti menerusi langkah mewujudkan jawatan Pengetua Cemerlang dalam Skim Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.

''Sehingga kini, seramai 548 daripada 2,213 pengetua iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengetua di negara ini, sudah dilantik ke jawatan pengetua cemerlang.

''Daripada jumlah ini, seramai lapan pengetua dilantik Gred JUSA C, 180 orang dalam Gred DG54 dan 360 orang Gred DG52. Selain itu, saya juga sudah mengumumkan pertambahan kuota guru cemerlang bagi guru siswazah dan bukan siswazah sebagai dorongan untuk mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2009

Tiada ulasan: