SEKUNTUM mawar merah sebuah nukilan daripada seorang bapa kepada para guru yang pernah mendidik anak-anak saya dari mula mereka berada di tadika hinggalah ke menara gading.
Pada bulan Januari tahun 1990, setelah meminta izin daripada pengetua, saya pergi ke bilik darjah bertemu seorang guru perempuan yang mengajar di tahun lima SRK Taman Melawati. Tujuan saya menemui guru tersebut cuma ingin menyerahkan sebatang rotan untuk digunakan sekiranya beliau mendapati sukar untuk mendisiplinkan anak saya yang memang terkenal dengan kenakalannya.
Di pertengahan tahun ketika ibu bapa dikehendaki hadir untuk mengambil laporan kemajuan murid, sempat saya bertanya kepada guru berkenaan tentang kesan ‘sebatang rotan’ ke atas anak saya. Alhamdulillah, usaha saya menemui guru tersebut bukan sahaja memberi kesan positif kepada anak saya khususnya tapi kepada murid lain juga amnya.
Tujuan saya menukilkan contoh di atas kerana ingin berkongsi pengalaman atau pun cara orang lama berinteraksi dengan guru - golongan insan yang terlalu banyak jasanya kepada masyarakat.
Sebagai bapa kepada lima orang anak, izinkan saya memberi penghargaan kepada insan-insan mulia yang bergelar guru yang pernah membimbing anak-anak saya sehingga kesemuanya berjaya bertapak di menara gading.
Kepada guru-guru dan tenaga pengajar Tadika Wirawati, Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Melawati, Sekolah Menengah Taman Melawati, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa Sungai Petani, Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Kolej Matrikulasi Melaka, UiTM Shah Alam, UPM Serdang, MMU Cyberjaya, USM Pulau Pinang dan UTHM Parit Raja, terima kasih yang tak terhingga. Jasa kalian tiada ternilai. Selamat Hari Guru.
ALI ABDULLAH
Taman Melawati
Kuala Lumpur
Utusan Malaysia Online: 15 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan