PULAU PINANG 25 Mei - Kerajaan sedia mengkaji permintaan Persatuan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah (PKPSM) yang meminta kadar elaun tanggungjawab pengetua sebanyak RM150 sekarang dinaikkan kepada RM600 sebulan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kementerian tidak pernah mengabaikan kebajikan warga pendidik dan proses penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.
''Kita akan kaji kadar elaun tersebut seperti yang diminta. Saya fikir warga pendidik adalah golongan kakitangan kerajaan yang tidak pernah kita abaikan dan penambahbaikan sentiasa dibuat.
''Namun setiap tindakan yang dibuat perlu dikaji dahulu dan implikasinya perlu diambilkira. Saya harap semua pengetua dapat bersabar," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Manual Prosedur Kerja Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia di sini hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ke-48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara kali kedua.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noorezan Bapoo Hashim.
Menurut Muhyiddin, bilangan guru termasuk pegawai pendidikan yang mencecah setengah juta di seluruh negara perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
''Kita kena buat keputusan berdasarkan kemampuan kerajaan. Jika kita janji tetapi kita tidak mampu, itu tidak boleh," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua PKPSM, Azam Md. Atan dalam ucapannya meminta kadar elaun tersebut yang tidak pernah dinaikkan kerajaan sejak 15 tahun lalu dinaikkan kepada RM600.
Katanya, kadar itu dirasakan amat berpatutan dengan bebanan tugas yang dipikul pengetua-pengetua tersebut.
Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan