Jumaat, 15 Mei 2009

Pembinaan Negara Bangsa diterus

Oleh Syuhada Choo Abdullah
hoo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Masyarakat guru sentiasa berada pada saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi melahirkan modal insan cemerlang negara pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, masyarakat guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan membentuk akhlak serta jati diri murid.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuh perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan menghadapi globalisasi.


“Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini,” katanya dalam perutusan sempena Perayaan Hari Guru 2009 bertema `Guru Pembina Negara Bangsa’ yang akan dilancarkan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, esok.

Muhyiddin berkata, matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan ‘1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai dan semangat patriotisme yang dipupuk serta disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama generasi muda.

Menerusi semangat patriotisme, beliau berkata, bangsa akan menjadi kuat, berani serta memiliki kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara.

Selain itu, katanya, nilai sosial seperti semangat kekitaan, saling menghormati, toleransi, taat setia dan pengabdian tidak berbelah bagi terhadap negara, wajar dipupuk serta diamalkan sejak di bangku sekolah serta menjadikannya budaya hidup masyarakat.

“Jika nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan terancang, saya yakin perpaduan dalam kalangan rakyat dapat diper-kukuh. Perpaduan adalah aspek penting dalam pembangunan negara, oleh itu ia perlu diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin turut menyeru semua guru mempertingkat diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan kerana tugas membina Negara Bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai, sebaliknya semakin kompleks dan mencabar.



Sementara itu, dalam perutusan sempena Perayaan Hari Guru 2009, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata negara akan hilang daya saing dan ketinggalan dalam kemajuan global jika guru tidak menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata, guru berperanan membentuk jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai sejagat, sekali gus menjadi warga negara glokal.

Berita harian Online: 15 Mei 2009

Tiada ulasan: