ahmadtajol@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Hanya kerana keluar kelas tanpa kebenaran guru bagi mengikuti kelas kompang menyebabkan seorang murid tahun lima sebuah sekolah di Cheras di sini dilarang setahun daripada memasuki kelas yang diajarnya, kelmarin.
Guru berkenaan yang mengajar subjek Pendidikan Sivik Kenegaraan (PSK) dikatakan bengang dengan tindakan murid berkenaan, Mohammad Nur Izwam, 11, pergi ke latihan kompang tanpa kebenarannya sedangkan latihan itu penting bagi sambutan Hari Guru peringkat sekolah itu, Jumaat ini.
Tindakan guru wanita berusia lewat 30-an terbabit memarahi mangsa di hadapan murid lain menyebabkan dia kini trauma dan tidak mahu ke sekolah.
Malah, menurut bapa mangsa, Azmi Md Yatim, 35, sebaik tiba di rumah, anaknya mengadu dia tidak dibenarkan memasuki kelas PSK yang diajar guru terbabit selama setahun.
“Sebaik menerima berita berkenaan, saya segera ke sekolah bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Namun kedatangan saya ke sekolah nyata tidak disenangi, malah disambut dengan kata-kata kesat guru terbabit dan butir perbualan ada dalam simpanan saya,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Harian Metro difahamkan guru terbabit bermati-matian menegaskan kesalahan anaknya yang didakwa keluar ke kelas kompang tanpa pengetahuannya.
Kesal dengan tindakan guru terbabit, Azmi kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Cheras sebelum membawa perkara berkenaan ke pengetahuan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP).
myMetro: 20 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan