|
|
KENINGAU 17 Mei - Bunyi pelik kebakaran yang datang dari bumbung sebuah rumah yang sedang dijilat api, menyelamatkan anak lelaki seorang guru dalam kebakaran di Kampung Tudan Baru dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa hanya sempat menyelamatkan sebuah komputer riba miliknya.
Guru berkenaan, Abdul Samad Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian, dia dan ahli keluarganya yang berjumlah 10 orang tidak berada di rumah kecuali seorang anak lelakinya yang berusia 17 tahun.
Dia yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sook dekat sini memberitahu, anaknya itu tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen atau apa-apa barangan.
"Penduduk kampung juga cuba membantu memadamkan kebakaran tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Menurutnya, kebakaran itu dipercayai berpunca akibat litar pintas di rumah dua tingkat separuh papan tersebut.
"Pihak bomba tiba 10 minit selepas aduan bersama dua buah jentera dan 10 anggota. Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran," katanya.
Menurutnya, kebakaran itu berjaya dikawal sejam kemudian dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan