Penaja biasiswa lebih cenderung untuk memberi tajaan kepada pelajar yang berupaya memperoleh keputusan A1 terbanyak. Ini tentunya memberi kelebihan ketara kepada pelajar yang memperoleh A1 dalam kuantiti subjek yang besar berbanding pelajar yang memperoleh A1 dalam kuantiti subjek yang sedikit.
Ini tidak adil bagi pelajar di sekolah yang mengehadkan jumlah pengambilan subjek SPM kepada sembilan atau sepuluh subjek saja.
Keadaan ini menyebabkan pengabaian terhadap pelajar yang turut memperoleh keputusan SPM cemerlang tetapi dalam jumlah subjek yang sedikit. Persoalan timbul sekarang ialah persaingan tidak seimbang di kalangan pelajar untuk merebut tajaan biasiswa.
Sebenarnya, jika keadaan di atas dijadikan ukuran, arahan tentu saja boleh dikeluarkan oleh pihak berwajib supaya semua sekolah memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengambil seberapa banyak jumlah subjek SPM. Dengan itu, masalah persaingan yang tidak adil akan dapat diselesaikan.
Namun sebenarnya, terdapat kemaslahatan yang lebih wajar untuk dijadikan sandaran kepada cadangan diutarakan. Kebelakangan ini, seruan dan desakan supaya sistem pendidikan negara tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata semakin banyak diperkatakan.
Malah Kementerian Pelajaran sudah mengambil langkah proaktif membincangkan isu ini secara tuntas. Ini untuk memastikan supaya sistem pendidikan negara lebih bersifat holistik bagi menyanggupi cabaran semasa.
Jika persaingan merebut keputusan A1 paling banyak di kalangan pelajar diteruskan, adalah dikhuatiri ia akan mendorong pelajar berorientasikan peperiksaan semata-mata, kerana menjadikan peperiksaan sebagai matlamat akhir di dalam pembelajaran mereka. Benar dengan memperoleh keputusan A1 yang banyak akan memberikan petunjuk kecemerlangan pembelajaran mereka. Tetapi soalnya, sejauh mana?
Kecemerlangan pembelajaran tidak boleh hanya diukur dengan keupayaan mengingat apa yang dipelajari. Syed Muhammad Naquib al-Attas mentafsirkan ilmu sebagai ketibaan makna di dalam diri. Maka, seharusnya soal sejauh mana makna kepada apa yang dipelajari, benar-benar tiba di dalam diri setiap pelajar menjadi perkara utama.
Semua pihak juga harus mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan pelajar luar bandar. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk turut sama bersaing secara sihat dan adil bersama rakan pelajar di bandar.
Sekiranya persaingan merebut A1 ini dijadikan amalan, tentu saja tidak adil bagi pelajar luar bandar yang terpaksa mengharungi segala kekurangan berbanding pelajar bandar yang menikmati segala kemudahan yang sudah sedia ada.
KHAIRUL ANWAR SHAZALI,
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Berita Harian Online: 26 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan