Sabtu, 16 Mei 2009

Gadai nyawa redah banjir

Banyak orang kata jadi guru senang. Waktu kerja singkat, cuti sekolah banyak dan hanya berdepan dengan budak belasan tahun. Namun, kerjaya sebenar seorang guru, jasa dan pengorbanan mereka sebenarnya tidak terbalas.




SEJAK sekian lama, kerjaya seorang guru dipandang mulia di sisi masyarakat bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa tidaknya, tanpa guru siapalah kita hari ini. Belum tentu kita dapat membaca, menulis dan mengira.

Namun sejauh manakah kita menghargai jasa dan pengorbanan seorang guru yang sanggup menggadaikan masa, nyawa dan segala-galanya untuk mendidik anak bangsa bagi melahirkan modal insan yang cemerlang?

Di sebalik kerjaya mulia ini, mungkin tidak ramai yang memahami tugas sebenar seorang guru.

Mereka bukan sahaja mendidik dan mengajar di sekolah tetapi pelbagai jenis bebanan terpaksa dipikul tanpa disedari oleh masyarakat hari ini.

Pengorbanan guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman adalah antara yang paling menduga diri seorang guru apabila mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai onak dan ranjau.

Ini dibuktikan oleh guru-guru Sekolah Kebangsaan Lubok Bedil (SKLB) Kapit, Sarawak, yang terletak di kawasan pedalaman dengan mengambil masa lebih sejam perjalanan menggunakan bot dari pekan Song dalam bahagian Kapit.

Sekolah yang mempunyai 13 orang guru dan 90 orang murid itu dilanda banjir pada 26 Februari lalu ketika beberapa bahagian di Bumi Kenyalang ditenggelami air.


MOHD. HAIRI BAHARIM


Bencana tahunan itu telah menenggelamkan beberapa bangunan termasuk kelas pra-sekolah, bilik darjah di tingkat bawah dan kediaman guru di kawasan rendah.

Menurut seorang guru baru di sekolah berkenaan, Mohd. Hairi Baharim, 26, proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa pada hari tersebut, namun tiba-tiba semua warga SKLB terkejut apabila paras air Sungai Katibas melimpah dan kawasan sekolah mula ditenggelami air.

Beliau berkata, suasana agak kelam-kabut pada pagi itu menyebabkan guru-guru dan kakitangan sokongan terpaksa mengerah murid menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi serta menyelamatkan barangan sekolah yang penting agar tidak ditenggelami air.

Kosmo! difahamkan, banjir berlaku ekoran hujan lebat tanpa henti selama dua hari di kawasan itu menyebabkan paras air Sungai Katibas meningkat sehingga melimpahi tebing.

"Ketika air mula melimpahi tebing Sungai Katibas, kami semua berada di dalam kelas masing-masing.

"Setelah melihat air mula memenuhi padang sekolah, guru besar mengarahkan semua guru berhenti mengajar dan membawa murid-murid serta barangan penting ke kawasan yang lebih tinggi," ujar beliau.

Menurutnya, semua murid memakai jaket keselamatan ketika dibawa ke tempat selamat menggunakan sampan apabila jambatan di sekolah tersebut turut ditenggelami air.


BEGINILAH keadaan Sekolah Kebangsaan Lubok Bedil di Kapit, Sarawak ketika dilanda banjir baru-baru ini.


Sebahagian guru dan kakitangan sekolah yang lain pula bertungkus lumus menyelamatkan perabot serta peralatan memasak di dapur asrama daripada rosak akibat banjir.

Mohd. Hairi berkata, beliau belum pernah menjadi mangsa banjir sepanjang hidupnya dan kejadian tersebut memberi satu pengalaman baru kepadanya.

"Sekolah ini terletak jauh dari pekan dan sekiranya berlaku kecemasan atau bencana, guru yang akan memikul tanggungjawab.

"Banjir kali ini menguji ketahanan mental dan fizikal beberapa guru baru yang tidak pernah terfikir diuji dengan cabaran sedemikian rupa," ujarnya.

Selepas banjir reda dan air mulai surut, semua guru bekerjasama membersihkan kawasan sekolah, bilik darjah dan menyusun semula kerusi dan meja.

Tindakan pantas warga SKLB bukan sahaja menyelamatkan nyawa murid-murid, malah turut menyelamatkan barangan penting daripada musnah.

Mungkin ramai yang menyangka tugas guru tidak lebih daripada sekadar mencalit kapur putih di papan hitam, sedangkan adakalanya mereka terpaksa menggadai nyawa demi kerjaya mulia itu.

Untuk semua guru Malaysia, Selamat Hari Guru!

Kosmo Online: 16 Mei 2009

Tiada ulasan: