KUALA LUMPUR 27 Mei - Gabungan Penulis Nasional (Gapena) gembira dengan langkah kerajaan yang bersungguh-sungguh mencari penyelesaian terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan banyak pihak menolak pelaksanaannya.
Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, kesungguhan itu mencerminkan kerajaan amat prihatin dan memahami hasrat rakyat tentang isu pendidikan.
"Gapena amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kerana mengambil berat tentang perkara ini.
"Tindakan beliau menyegerakan penilaian semula dasar dan membuat keputusan secepat mungkin akan memberi faedah kepada anak-anak di masa depan," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.
Hari ini, Muhyiddin berkata, penilaian dasar terhadap kedudukan dasar itu kini berada di peringkat terakhir sebelum taklimat mengenainya dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penilaian mengenai PPSMI akan mengambil kira pelan komprehensif, pandangan semua pihak serta sistem pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, walaupun pelaksanaan PPSMI itu rata-rata ditolak, ia tidak bermakna bahasa Inggeris tidak perlu dijadikan sebagai wadah memajukan anak bangsa.
"Kita tetap bertegas bahawa bahasa Inggeris perlu diajar melalui saluran yang betul dan bukan menggunakan mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Cara itu hanya menjejaskan perkembangan pembelajaran anak-anak kita terutama mereka yang di luar bandar kerana kajian yang kita buat sebelum ini jelas menunjukkan perbezaan ketara dengan hasil kajian yang dijalankan kementerian mengenai keberkesanan PPSMI," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Gapena akan berjumpa dengan Muhyiddin bagi menyatakan semula ketegasan dan hasrat pertubuhan itu supaya PPSMI dimansuhkan terus untuk kepentingan generasi muda.
Katanya, satu memorandum akan diserahkan kepada Muhyiddin pada pertemuan yang akan dibuat dalam masa terdekat itu.
Beliau berkata, antara kandungan memorandum itu termasuk ketegasan Gapena untuk menuntut supaya PPSMI tidak diteruskan dan juga sokongan kepada pengukuhan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui kaedah yang betul dan bukan melalui PPSMI.
Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan