Jumaat, 15 Mei 2009

50,000 dijangka ke festival hari guru


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membaca dan membeli produk keluaran Kumpulan Utusan manakala sekumpulan pengunjung (duduk di sebelah kanan) menyertai pertandingan puzzle yang dianjurkan majalah Kawan di Festival Hari Guru di Terengganu Trade Centre, semalam.


KUALA TERENGGANU 14 Mei – Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula hari ini dijangka menerima 50,000 pengunjung.

Ini berikutan pelbagai program menarik disediakan sepanjang festival berkenaan yang merupakan anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kumpulan Utusan.

Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, jumlah itu dianggarkan berdasarkan sambutan hari pertama festival itu yang menarik kunjungan kira-kira 2,000 orang.

‘‘Jumlah kehadiran pengunjung dijangka meningkat esok dan lusa berikutan cuti hujung minggu di negeri ini,” katanya ketika ditemui di TTC di sini hari ini.

Beliau berkata, antara aktiviti untuk pelajar yang disediakan sepanjang festival adalah Bengkel ADaP-Utusan bertajuk ‘Strategi Belajar Cemerlang’ bersama Dr. Ismail Zin pada Sabtu ini.

Turut dianjurkan Dialog Bersama Pakar Teknik Belajar Smarstudy, Osman Affan esok.

‘‘Klinik Kartun ADaP (Akhbar Dalam pembelajaran)-Utusan, Bengkel Pembelajaran Inkuiri Bersama Petrosains, Motivasi Bersama Showme Learning Centre dan Seminar Kerjaya Bersama Petronas turut diadakan,” katanya.

Beliau menambah, beberapa pertandingan menarik juga diadakan untuk pelajar termasuk Pertandingan Reka Cipta dan Lumba Bot RA3 Eduscience, E-Lab-Utusan Tongue Twister Competiton dan permainan pendidikan bersama Petrosains.

Menurutnya, sebanyak 120 gerai dibuka sepanjang festival tersebut termasuk oleh Petrosains Sdn. Bhd., Telekom Smart School, Nur-Ilmu Sdn. Bhd., Showme Learning Centre Sdn. Bhd. dan Puncakmas Marketing Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat-syarikat dari Kuala Lumpur memberikan sambutan yang baik untuk menjayakan festival tersebut.

‘‘Gerai-gerai ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Sebagai contoh, Petrosains membawa pelbagai peralatan menarik di gerainya yang dapat menarik minat para pelajar untuk mendalami ilmu sains,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Saidatulakma Mohd. Zulkifli, 22, berpendapat, penganjuran festival tersebut merupakan salah satu aktiviti yang mampu memeriahkan sambutan Hari Guru.

Seorang guru, Ramlah Ismail, 42, berkata, ia merupakan satu penghargaan kepada usaha guru-guru dalam mendidik anak bangsa.

Dalam pada itu, Norfatil Fauzi, 17, berkata, festival tersebut memberikan banyak maklumat apabila mempamerkan pelbagai bahan yang menarik minat golongan pelajar sepertinya.

Utusan Malaysia Online: 15 Mei 2009

Tiada ulasan: