Selasa, 19 Mei 2009

30 tahun Saripah jadi guru


Murid-murid Sekolah Tunku Ampuan Durah bersalaman dengan Saripah Daim sempena menyambut Hari Guru di Seremban, baru-baru ini. - utusan / ABD RAZAK AID


SEREMBAN 18 Mei - Tiada hadiah yang lebih bermakna buat seorang pendidik bernama guru selain untuk melihat sendiri murid yang dididik dan diasuh mengecap kejayaan dalam hidup sekali gus menjadi individu berguna kepada bangsa, agama dan negara.

Usaha murni dan pengorbanan mereka bergelar guru itu juga barangkali berbaloi dengan sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun atau sekurang-kurangnya mampu menjadi pembakar semangat dalam meneruskan perjuangan mendidik anak-anak bangsa.

Walaupun tanpa hadiah yang mahal , cukuplah dengan ucapan Terima Kasih! Cikgu, sebagai tanda penghargaan kerana ia sudah memadai.

Seperti luahan hati seorang guru, Saripah Daim, 55, yang beranggapan bahawa 'guru ibarat lilin' dan setiap kali menjelang ketibaan sambutan Hari Guru hatinya penuh bersemangat.

Mengimbas kembali kerjayanya sebagai guru sejak 1980, pelbagai pengalaman pahit manis telah dilaluinya tanpa mengenal erti jemu dalam menabur bakti mendidik pelajar.

Menurut beliau, kenangan yang paling manis sepanjang berkhidmat sebagai guru adalah untuk melihat anak muridnya berjaya dalam kehidupan mereka.

''Saya rasa sangat dihargai dan ia merupakan hadiah yang paling istimewa buat saya sekiranya dapat melihat pelajar yang diasuh dan dididik suatu ketika dulu sudah berjaya dan menjadi orang yang berguna.

''Lebih menggembirakan saya adalah apabila pelajar yang sudah berjaya menjadi doktor, peguam serta berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi masih menghubungi saya lebih-lebih lagi setiap kali tibanya Hari Guru," kata beliau ketika ditemui di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah di sini baru-baru ini.

Jelas Saripah, hubungan erat dan sentiasa diingati oleh bekas pelajarnya merupakan hadiah yang paling berharga buat diri beliau berbanding pemberian hadiah lain sempena menyambut Hari Guru.

Beliau yang juga pernah memikul tanggungjawab sebagai guru disiplin selama 15 tahun mengakui bahawa disiplin merupakan aspek utama dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segala aspek.

''Berlandaskan disiplin dan etika perguruan, pelajar dapat dibentuk dan diasuh untuk menjadi insan yang seimbang dan berjaya bukan sahaja dari segi akademik malah rohani dan jasmani.

''Selain itu ketegasan disiplin terhadap pelajar tidak akan membawa sebarang makna kepada para pelajar sekiranya guru itu sendiri tidak menunjukkan contoh dan teladan yang baik," ujar beliau mengenai cabaran mendidik.

Tambah Saripah, pelbagai pengorbanan perlu dilakukan dalam memenuhi tuntutan sebagai seorang tenaga pendidik.

''Ada waktunya guru lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan bersama anak murid dibandingkan dengan waktu mereka di rumah atau bermesra dengan anak dan kaum keluarga sendiri," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau memberitahu pengalaman mendidik yang kian mencecah 30 tahun itu telah mendewasakan dirinya tentang peranan dan fungsi sebenar seorang tenaga pengajar.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009

Tiada ulasan: