Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid
KELMARIN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa mulai tahun depan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran, susulan kenyataannya seminggu lalu mengenai isu itu. Apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan pelajar, guru dan negara amnya.
Ini adalah tanggungjawabnya sebagai Menteri Pelajaran bagi memastikan perjalanan dan kesan positif bagi peperiksaan SPM, yang dianggap sebagai satu peperiksaan penting dalam sistem pendidikan menengah di negara kita.
Alasan yang diberikan Muhyiddin adalah dengan mengehadkan 10 mata pelajaran, akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras; sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran dan memberi manfaat kepada ibu bapa kerana terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen.
Alasan yang diberikan itu adalah benar, tetapi tidak tepat bagi semua keadaan. Calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran tidak semata-mata bergantung kepada guru di sekolah dan tidak semuanya mengikuti kelas tuisyen.
Calon yang mengambil lebih daripada 15 mata pelajaran ini adalah sebilangan calon yang ‘terpilih’ saja. Bilangan yang mengambil lebih 10 mata pelajaran agak kecil, hanya kira-kira 10 peratus (48,000) daripada 500,000 calon SPM tahun lalu. Angka ini akan menjadi lebih kecil jika mengambil kira calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran.
Saya tidak sekali-kali menolak apa yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran itu, tetapi perbincangan dalam tempoh yang singkat sebelum menetapkan keputusan ini wajar dinilai semula. Sama ada hadkan kepada 10 mata pelajaran ini baik atau tidak perlu dibincangkan dengan lebih mendalam dan dilihat daripada pelbagai sudut dan persekitaran.
Pernyataan ‘mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran’ agak keras sifatnya. Saya berpendapat kita harus menilai daripada beberapa sudut, pelbagai persekitaran dengan lebih mendalam dan penilaian lebih lama serta benar-benar terperinci.
Pakar pendidikan harus dibenarkan berbicara dan meluahkan pendapat serta pandangan secara terbuka, bebas dan berwawasan jauh. Kesan jangka panjang pendidikan mesti dijadikan objektif utama dan asas perkembangan ilmu mesti dilihat dengan teliti serta benar-benar terperinci dan tidak sekali-kali dipengaruhi faktor remeh yang bersifat sementara.
Saya ingin mengambil satu contoh mudah iaitu seorang pelajar aliran agama yang berminat dalam bidang sains akan menghadapi masalah dengan ketetapan baru ini. Sila lihat senarai subjek bagi memudahkan perbincangan.
Mata pelajaran Teras
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Pendidikan Islam/Moral
4. Sejarah
5. Matematik
6. Sains
Subjek Agama
1. Bahasa Arab Tinggi
2. Tasawwur Islam
3. Pendidikan al-Quran & as-Sunnah
4. Pendidikan Syariah Islam
Subjek Sains
1. Matematik Tambahan
2. Fizik
3. Kimia
4. Biologi
Seorang calon mesti mengambil subjek teras sebanyak enam iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains. Dengan mengehadkan 10 subjek, seseorang calon hanya boleh mengambil empat lagi subjek iaitu Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam.
Calon ini tidak lagi dapat mengambil subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan (apatah lagi bagi mengambil subjek seperti English For Science and Technology, Technical Drawing, Engineering dan sebagainya).
Apa yang berlaku seolah-olah kita sudah menyekat kebebasan individu yang berminat menggabungkan ilmu agama dan sains yang saya fikir sangat penting bagi menjadi insan seimbang yang mengenal alam dan penciptanya.
Perkembangan ini sudah berlaku dan berkembang dengan baik di sekolah aliran agama di mana kita dapati ramai calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran dengan menggabungkan subjek teras, agama dan subjek sains semakin besar bilangannya dan berkembang dengan pesat.
Subjek Sains (seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan) dan subjek agama (seperti Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam) yang diajarkan di sekolah aliran agama harus dibenarkan diambil bersama bagi pelajar muda ini supaya mereka dapat benar-benar memahami alam dan Penciptanya.
Sains mampu menghuraikan inti pati yang terkandung dalam al-Quran. Asas pemahaman sains mesti dibentuk dari awal bukan menyekatnya pada peringkat awal. Jika pemisahan ini berlaku, umat Islam akan mula membentuk satu aliran pemikiran yang sepatutnya tidak berlaku. Satu golongan pelajar yang memahami agama (yang lebih khusus) dan tidak memahami al-Quran dan satu golongan lagi yang memahami sains dan teknologi tetapi tidak memahami agama Islam secara yang sepatutnya.
Persoalan ini sudah lama difikirkan oleh sarjana Islam yang akhirnya membawa kepada Persidangan Pendidikan Sedunia Islam di Makkah pada 1977. Dalam persidangan itu, dikenal pasti bahawa melalui penjajahan Barat selama ratusan tahun di negara yang didiami umat Islam, telah berlaku pembentukan falsafah pendidikan yang silap iaitu pemisahan di antara ilmu yang diistilahkan sebagai ‘Acquired Knowledge’ dan ‘Perennial Knowledge’.
Doktrin pemisahan ilmu ini berjalan ratusan tahun dalam zaman penjajahan Barat ke atas umat Islam. Apa yang ditanamkan adalah Islam dan Sains, berbeza dan terpisah. Oleh itu kita dapati bahawa mereka yang alim agamanya, amat cetek sainsnya, manakala yang mendalam sains dan teknologinya sangat cetek ilmu agamanya. Ketidakseimbangan ini membawa kerosakan besar kepada pembangunan umat Islam. Kesannya masih terasa dan dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Adakah kita berundur ke zaman silam yang memisahkan ilmu yang sepatutnya disepadukan. Kita tidak mampu melihat kesannya dalam masa singkat, tetapi perancangan yang benar-benar teliti mesti diatur bagi kegemilangan umat dalam jangka masa panjang dan pembinaan tamadun besar yang diredhai Tuhan. Berhati-hati dengan musuh umat, kerana mereka sedar bahawa ilmu yang sebenar adalah senjata yang sukar dikalahkan.
Jadi keputusan mengehadkan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran perlu difikir dengan benar-benar mendalam. Walaupun perkara ini nampak kecil, ketetapan ini memberi kesan besar dan amat sukar dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka juga mengambil subjek mengenai agama Islam dan ramai pula yang berminat (berpotensi besar berjaya cemerlang seperti yang sudah terbukti) dalam subjek sains.
Oleh kerana dua komponen subjek ini (agama Islam dan Sains) adalah sangat penting, maka kesan jangka panjang yang negatif perkembangan ilmu dan keseimbangan umat akan timbul akibat daripada keputusan ini. Carilah jalan mudah yang membawa kebaikan semua pihak dan keuntungan jangka panjang.
Penulis ialah pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu
Berita Harian Online: 30 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan