WARTAWAN Utusan, Aznan Bakar menerusi artikel bertajuk "Satu sekolah untuk semua" membuka kembali hasrat dan cita-cita para pejuang bangsa ke arah perpaduan sebenar. Kita mahu melihat anak-anak "bangsa Malaysia" ini hidup bersatu sejak kecil tanpa mengenal warna kulit, bahasa dan agama.
Hampir semua negara di dunia termasuk negara maju memulakan pembinaan negara bangsa melalui sistem persekolahan. Mereka tidak membenarkan sekolah berdasarkan kaum berkembang selari dengan sekolah kebangsaan. Konsep ini diguna pakai di Amerika Syarikat, Australia, malah negara Asia Tenggara sendiri seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Namun ini tidak berlaku di Malaysia sehingga menyebabkan hubungan antara kaum walaupun tidak berlaku pertumpahan darah, tetapi konflik berlaku atas landas kaum setiap masa.
Apabila tidak semua pelajar cemerlang kaum Cina berjaya mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, kerajaan dituduh tidak telus. Apabila tidak semua kaum Cina dan India yang cemerlang tidak berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi awam walaupun dikatakan cemerlang akademiknya, kerajaan atau Kementerian Pengajian Tinggi dikatakan tidak mengamalkan sistem yang adil.
Kontrak kerajaan yang diberikan kepada bumiputera dilihat sebagai mengamalkan sistem pemerintahan secara perkauman walaupun perkara ini termaktub dalam Perlembagaan, seolah-olah Perkara 153 tidak pernah wujud.
Kerajaan juga semakin hari semakin melonggarkan Perkara 153 sehingga tidak lagi menjadi hak eksklusif Bumiputera kerana berkorban memberikan kerakyatan kepada kaum yang dahulunya pendatang.
Orang yang bercakap mengenai Perkara 153 dimomokkan sebagai mereka yang berbaur perkauman, sebaliknya mereka yang mempersoalnya dianggap pejuang keadilan.
Tidak pernah dipersoalkan keadilan secara lebih adil dan saintifik seperti pendapatan perkapita kaum Cina sekitar RM4,500, kaum India RM3,000 manakala pendapatan Bumiputera hanya sekitar RM1,500 seperti tercatat dalam dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan. Ia sebenarnya memerlukan campur tangan kerajaan bagi membolehkan kek ekonomi negara dinikmati secara adil kepada semua rakyat.
Dengan pendapatan perkapita yang besar akan membolehkan kaum Cina membayar tuisyen dan membeli buku dengan kualiti yang tinggi berbanding dengan Bumiputera yang bergelut untuk mencari wang untuk membeli buku dan membiayai tuisyen anak-anak, dan ini memerlukan bantuan kerajaan ke arah itu.
Jika secara mikro kaum Cina yang mengalami nasib seperti itu juga, mereka juga dibantu. Inilah yang menyebabkan ada pelajar Cina cemerlang yang tidak mendapat biasiswa, berbanding dengan Bumiputera atau kaum Cina lain yang berada jauh di pendalaman.
Asas kepada pelbagai masalah yang dilihat secara perkauman ini kerana sistem pendidikan yang tidak diasaskan sejak kecil, sedangkan anak-anak kecil tidak kira kaum Melayu, Cina atau India tidak membataskan pergaulan berdasarkan kulit.
Akan tetapi idealisme ini tidak pernah berjaya direalisasikan kerana penentangan yang kuat sehingga tercermin ke dalam bentuk undi pilihan raya dan ugut-ugutan.
Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak sehingga tercurah dalam Akta Pendidikan tidak lagi meletakkan asas penyatuan kaum ini berdasarkan "satu sekolah untuk semua".
Idea kompromi seperti Sekolah Wawasan dengan menggabungkan tiga sekolah dalam satu kawasan untuk membolehkan anak-anak bangsa bergaul juga ditolak oleh badan bukan kerajaan (NGO), Dong Jioa Zhong (Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina dan GuruGuru Sekolah Cina), menyebabkan Sekolah Wawasan rata-ratanya wujud hanya antara Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil.
Kuasa Dong Jio Zhong sangat hebat kerana kaum Cina yang diwakili MCA juga mengikuti kehendak mereka; Gerakan juga jarang sekali membantah dan DAP juga selalu bersama-sama dengan otak Dong Jia Zhing. Kini, PKR juga turut bersama-sama dengan gerakan Dong Jia Zhong.
Pelantikan Tan Sri Dr. Koh Tsun Kun sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi yang juga pernah menjadi aktivis Dong Jia Zhong mungkin berjaya mengubah landskap sekolah di negara ini dengan mencairkan sekolah vernakular kepada satu jenis sekolah - satu sekolah untuk semua.
Sedangkan di sekolah vernakular sekarang ini pun, guru-gurunya dibayar gaji oleh Kementerian Pelajaran dan kelengkapan prasarana serta buku-buku daripada kerajaan, tetapi mereka menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil? Ini menyebabkan Sekolah Kebangsaan yang sepatutnya menjadi sekolah penyatuan semua kaum, menjadi sekolah untuk Bumiputera semata-mata.
Seperti kata Aznan, sebelum perkauman menjadi bertambah buruk, sesuatu perlu dilakukan di peringkat sekolah. Idea satu sekolah untuk semua mesti diperjuangkan oleh sesiapa sahaja yang sayangkan negara ini.
BAKHARI ARIFF
Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok
Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan