PUTRAJAYA 18 Mei - Ibu bapa perlu memainkan peranan membantu guru-guru bagi memastikan pelajaran dan akhlak anak mereka berada pada tahap cemerlang.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, usaha mendidik pelajar tidak seharusnya diletakkan di bahu guru sepenuhnya.
Sebaliknya, kata beliau, ibu bapa perlu bekerjasama antara satu sama lain demi mencapai matlamat itu.
"Kerjasama antara ibu bapa dan guru masih di tahap rendah apabila melibatkan pendidikan anak-anak.
"Sikap sebegini harus dielakkan dengan cara ibu bapa melibatkan diri dalam persatuan seperti PIBG demi membantu para guru," katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.
Seramai 65 guru diraikan pada majlis yang julung kali dianjurkan oleh PIBG sekolah itu.
Mohamed Fadzil yang juga Pengarah Institut Sosial Malaysia berkata, pelajar didapati masih lemah dalam mengikuti jadual waktu yang disediakan, malah tidak pandai menggunakan nota pelajaran yang dicatat.
"Berdasarkan kajian yang dijalankan di sekolah ini, seramai 73 peratus daripada mereka mencatat nota pelajaran tetapi hanya 31 peratus yang menggunakannya manakala enam peratus sahaja mengikuti jadual waktu.
"Begitu juga dengan kemahiran mendengar, hanya 13 peratus yang mampu mendengar secara teliti, 15 peratus mengulang kaji pelajaran dan 16 peratus belajar secara berkumpulan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa melalui PIBG perlu bersama-sama memantapkan gerak kerja yang diaturkan pihak sekolah dengan meletakkan hala tuju dan matlamat yang sama.
Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan