KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mahu menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai isu semasa dan dasar kerajaan termasuk Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ketua Satu Gapena Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata gabungan itu akan mengemukakan memorandum sembilan perkara, antaranya menyokong gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Gapena menawarkan kepada kerajaan kerjasama dalam membangun gagasan 1Malaysia berlandaskan tafsiran Perlembagaan dan Undang-Undang negara yang wajar dan sahih demi kesejahteraan dan kemuliaan bangsa Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, katanya Gapena tetap bertegas dengan pendirian untuk memansuhkan PPSMI di semua peringkat pengajian serta menuntut dikembalikan pengajaran bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.
"Tindakan ini adalah selaras dengan semua tuntutan yang telah disuarakan oleh pelbagai golongan ilmuan, budayawan dan sasterawan serta kajian yang telah dilaksanakan oleh golongan penyelidik di pelbagai universiti dan pertubuhan awam," katanya pada sidang akhbar di Rumah Gapena di sini hari ini.
Ismail berkata Gapena menyokong kuat keperluan meneguhkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa melalui kaedah pembelajaran yang sewajarnya sebagai satu bahasa tanpa menyentuh kepentingan dan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pendidikan.
Sementara itu, Ketua Dua Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai Bahasa Inggeris ia seharusnya dibuat dengan kaedah profesional tanpa melibatkan mata pelajaran lain kerana akan menjejaskan pencapaian pelajar.
"Kalau hendak kuatkan pengajaran Bahasa Inggeris, guna kaedah pengajaran secara profesional, tetapi jangan ganggu Matematik dan Sains kerana ia akan menjejaskan dari segi Perlembagaan dan kesan kepada masyarakat luar bandar dan miskin," katanya.
Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata status quo dasar PPSMI akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu lagi kerana ia kini berada di peringkat akhir membuat penilaian terhadap kedudukan dasar itu.
BERNAMA: 27 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan