Isnin, 25 Mei 2009

Timur: Guru perlu kikis rasa gerun beri rawatan kecemasan

Oleh Mohd Rafi Mamat
bhnews@bharian.com.my


PEGAWAI perubatan, Mohan Chitran, mengajar teknik membantu mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala yang menyebabkan matanya terkeluar.

Latihan dianjurkan BASF beri tumpuan kepada ahli PBSM

PERANAN dan tanggungjawab guru bukan saja tertumpu kepada tugas mengajar di kelas, sebaliknya turut berperanan sebagai jurulatih dan pegawai perubatan.

Justeru, untuk memastikan guru memiliki kemahiran memberi pertolongan kecemasan kepada murid yang mengalami apa juga jenis kecederaan, pendedahan dan latihan perlu diberikan.

Pendedahan menerusi latihan juga berupaya mengikis perasaan takut dan gerun guru terutama apabila mereka berhadapan kecederaan serius dengan darah yang banyak.

Baru-baru ini, bertempat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Teruntum, Kuantan, diadakan Latihan Pertolongan Cemas yang disertai 20 guru sekolah rendah dan menengah daerah ini.

Program dianjurkan oleh BASF Petronas Chemicals (BASF) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu antara lain bertujuan memberi pendedahan serta teknik merawat dan membantu mangsa kemalangan.

PESERTA latihan pertolongan cemas membantu mangsa kemalangan pada sesi latihan praktikal.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi BASF, Jason Choi, berkata program yang dianjurkan itu lebih menumpukan kepada guru yang menganggotai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Katanya, apa yang diharapkan guru yang mengikuti latihan itu bukan saja menimba pengalaman tetapi lebih penting dapat berkongsi pengetahuan dengan pelajar.

"Ini kali ketiga BASF menganjurkan latihan pertolongan cemas membabitkan guru sekolah rendah dan menengah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK).

"Kepakaran pegawai perubatan BASF dapat dikongsi dengan guru yang akan membantu pelajar ditimpa apa juga jenis kecederaan dan kemalangan terutama di sekolah," katanya.

Jason berkata, selain merawat luka dan patah tangan, guru juga didedahkan dengan teknik membantu kecederaan serius disebabkan kemalangan jalan raya, pergaduhan, sesak nafas, tercekik dan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut.

Peserta, Noral Baiyah Kamaruddin, 26, berkata ini kali pertama dia mengikuti latihan pertolongan cemas yang dianggap penting bagi guru yang menganggotai pasukan PBSM.

"Banyak teknik membantu mangsa kecederaan antaranya seperti kemalangan jalan raya dan terjatuh yang menyebabkan kecederaan serius diajar sepanjang program.

"Kini saya bertambah yakin untuk membantu terutama mangsa yang mengalami patah tangan dan kaki terutama sebelum kehadiran pegawai perubatan," katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan.

Beliau berkata, sebelum seseorang murid yang mengalami kemalangan seperti patah tangan dan kaki di bawa ke hospital, bantuan yang sesuai perlu diberikan bagi memastikan tahap kecederaan yang dialami tidak menjadi semakin serius.

Rakannya, Nirmala Devi, 35, berkata pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu akan dikongsi dengan pelajar terutama yang menganggotai pasukan PBSM.

"Saya berpendapat latihan pertolongan cemas yang dianjurkan oleh BASF ini menepati kehendak dan kepentingan guru," katanya bertugas di SMK Teknik Seri Pelindung, di sini.

Nirmala berkata, apa yang menarik pada kursus yang dianjurkan oleh BASF ini ialah peserta seperti berada pada keadaan sebenar kemalangan.

Katanya, peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan akan berusaha membantu mangsa kemalangan jalan raya, pergaduhan, terkena kaca tingkap dan pisau yang memerlukan kemahiran membantu sebelum kehadiran ambulans.

Bagi Chua Siew Bee, 33, selain membantu mangsa yang mengalami luka, peserta juga diajar kaedah membantu mereka yang tercekik, sesak nafas dan lemas.

Katanya, bagi mereka yang tercekik, mangsa perlu dibantu dengan cara memeluk secara dari belakang seterusnya menekan bahagian perut bagi memastikan objek terlekat keluar dengan sendirinya.

"Bagi kes lemas dalam air, mangsa perlu diberi bantuan pernafasan melalui mulut, bagi memastikan mangsa dapat bernafas semula.

"Apa yang lebih penting untuk membantu mangsa yang terbabit dalam apa juga jenis kemalangan, kita perlu bertenang dan memberi bantuan secara profesional," katanya.

Berita Harian Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: