ALOR SETAR, 21 Mei (Bernama) -- Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mahu golongan pendidik melakukan anjakan paradigma daripada segi pemikiran dan kerja, sekali gus mengangkat martabat profesion perguruan sejajar dengan perkembangan semasa.
Baginda bertitah semua pendidik perlu berhemah, mempunyai jati diri dan berpegang teguh kepada ajaran agama agar mampu melahirkan insan yang hebat serta setia kepada bangsa dan negara selaras dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu "Guru pembina negara bangsa".
"Semua pihak meletakkan harapan yang tinggi kepada guru untuk membina bangsa yang mampu mengisi kepimpinan negara pada masa depan, oleh itu pendidik perlulah sentiasa menambah ilmu pengetahuan, peka serta ikhlas dalam setiap tugas yang diberikan," titah baginda pada pelancaran perayaan Hari Guru peringkat negeri Kedah di sini, Khamis.
Sultan Kedah turut meminta para guru dan pemimpin agar bekerjasama dalam memikul tanggungjawab merealisasikan konsep 'negara bangsa', iaitu sebuah negara yang rakyatnya kukuh jati diri, patriotik, teguh nilai-nilai agama dan moral, demokratik serta bertoleransi.
Baginda mahu guru yang disandarkan dengan seribu harapan agar menjalankan tugas dengan penuh keazaman, kejujuran, iltizam dan berjiwa perkasa untuk terus menggalas amanah serta harapan yang dipertanggungjawabkan.
BERNAMA: 21 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tiada tindakan aduan kerosakan kuarters guru.
Saya penghuni kuarters guru (SKPG 4), Taman Mawar Pasir Gudang, ingin meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera terhadap aduan tentang kerosakan-kerosakan yang berlaku di kuarters ini. Antara kerosakan yang berlaku di sini termasuklah, tangki air bocor yang menyebabkan air melimpah ke kawasan tangga dan membahayakan keselamatan penghuni dan keluarga, Kerosakan lampu tangga yang menyebabkan penghuni berasa tidak selesa untuk turun naik tangga pada waktu malam, begitu juga kerosakan pintu, tingkap, perabut dan sebagainya.Setiap bulan kami membayar sewa kuarters dan yuran yang ditetapkan. Malangnya tiada apa-apa tindakan pun dibuat walaupun telah berbulan-bulan aduan rasmi telah dibuat kepada pihak yang bertanggung jawab.Situasi seperti tidak seharusnya berlaku dan pihak yang berkenaan sila jalankan tanggungjawab yang telah dberikan. Terima kasih.
Catat Ulasan