Isnin, 14 Mei 2012

Cikgu nafi langgar murid

Oleh Nordiana Shafiee

2012/05/14

ALOR SETAR: Bapa seorang pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Bukit Pak Kiau, Pokok Sena, dekat sini mendesak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengambil tindakan ke atas seorang guru yang melanggar anaknya di kawasan sekolah hingga cedera November lalu.

Mohmad Tahir Ahmad, 39, berkata kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari 17 November tahun lalu ketika anaknya, Muhammad Haikal yang ketika itu berusia sembilan tahun melintas dari dewan ke kantin apabila dilanggar kereta dipandu guru perempuan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan tulang betis kaki kanan anaknya patah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini serta terpaksa bercuti sekolah sebulan pada Januari lalu.
Beliau berkata, apa yang dikesalkan ialah guru berkenaan bersikap tidak bertanggungjawab apabila terus memandu keluar dari kawasan sekolah tanpa membantu anaknya yang menangis kesakitan.

Berikutan kejadian itu, isterinya, Haliza Ariffin, 33, yang kebetulan bekerja di sekolah berkenaan terpaksa menghantar Muhammad Haikal yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu ke Klinik Kesihatan Pokok Sena sebelum dirujuk ke HSB.

“Saya amat kesal kerana pihak sekolah atau JPN tidak mengambil tindakan ke atas guru terbabit yang cuai hingga menyebabkan kemalangan dan dalam laporan polisnya guru itu mendakwa anak saya melanggar keretanya.

“Disebabkan tidak puas hati dengan tindakan guru itu yang enggan bertanggungjawab terhadap kejadian itu, saya turut membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu,” katanya di sini, semalam.

Berita Harian Online: 14 Mei 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa ada juga guru yang besikap seperti ini...di manakah sifat keperimanusiaan anda...