Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Mei 2011 sempena Sambutan Hari Guru: "Kenaikan
gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada
DG44 kepada DG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan
Penolong Kanan. Insya-Allah kenaikan ini akan menambahkan minat guru
untuk memegang kedua-dua jawatan yang amat penting dalam kepimpinan
sekolah".
Pengumuman ini semestinya amat melegakan barisan pentadbiran sekolah
yang dipimpin oleh pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan
hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum dan penolong kanan petang
(PKP) bagi sekolah yang ada sesi petang.
Setelah hampir setahun menunggu, berita yang menggembirakan itu
rupa-rupanya menjadi kejutan apabila barisan PKP tidak tersenarai dalam
pengiktirafan di atas. PKP yang selama ini berada dalam gred perjawatan
yang sama dengan penolong kanan (PK) tidak menerima kenaikan gred tanpa
ada pihak yang tampil memberi penjelasan tentang pengecualian itu.
Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? Adakah PKP tidak layak
atau tidak setaraf? Jika dirujuk fail meja setiap PKP, tugas hakiki
tidak ada bezanya, cuma pengkhususan dalam bidang masing-masing.
Jika diteliti dalam bidang kurikulum tugas PKP adalah seiring dengan
PK Pentadbiran dan dalam bidang hal ehwal murid, kami seiring dengan PK
HEM, dan dalam bidang kokurikulum adalah seiring dengan PK Kokurikulum.
Jelas berdasarkan tugas tersebut, PKP menjalankan kesemua tugas PK
tetapi secara spesifik bagi murid sesi petang. Data juga menunjukkan
jumlah murid sesi petang di sebuah sekolah mungkin lebih ramai daripada
sesi pagi di sekolah lain.
Seorang pengetua bertugas mengikut waktu kerja pejabat tetapi bagi
seorang PK Pentadbiran, PK HEM, PK Kokurikulum dan PKP adalah sama
seperti guru biasa. Ini bermakna tiada sebarang penetapan masa bekerja
bagi PKP selepas sesi persekolahan. PKP akan menggalas tugas pengurusan
pentadbiran, akademik, kokurikulum, hal ehwal murid, staf dan sebagainya
bagi sesi petang sendirian bermula 1 petang sehingga 6.45 petang.
Sumber tidak rasmi ada menyatakan bahawa di Bahagian Sumber Manusia
jawatan PKP tidak wujud. Jawatan yang ada ialah penyelia petang. Adakah
perkara ini benar dan mengapa boleh berlaku? Penyelia Tingkatan Enam
Satu yang merupakan jawatan jauh lebih baru daripada penyelia petang
telah pun diiktiraf sebagai PK Tingkatan Enam dan berada di gred DG48 .
Jika dirujuk dalam pekeliling yang ada selama ini, jawatan penyelia
petang adalah seiring dengan jawatan PK lain dalam apa jua perkara,
contohnya pembayaran elaun tanggungjawab, tugas di luar norma (masa
mengajar kurang dari guru biasa kerana beban tugas pentadbiran). Gred
perjawatan sebelum ini DG44. Mengapakah bagi kenaikan ke DG48, PKP
diketepikan?
Dalam setiap carta kepimpinan organisasi sekolah, PKP sebaris dengan
PK. Di manakah kedudukan PKP selepas ini? Semua carta organisasi perlu
dirombak kerana gred perjawatan telah berubah. Tiga PK lain berada di
Gred DG48 manakala PKP pada gred DG44 iaitu bersama empat guru kanan
mata pelajaran atau ketua bidang.
Satu penjelasan perlu dibuat bagi menjernihkan keadaan ini. Bagi
membaiki keadaan ini adalah amat diharapkan ada pihak yang akan tampil
membuat penjelasan agar kekeliruan dapat diatasi, seterusnya meletakkan
semula kedudukan PKP setaraf PK lain di gred DG48.
Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Sabar bos...cuba bos pikir macam ni. Puak2 gpk tu jawatan dinaikkan gred, jd gpk yg sedia ada akan ikut naik gred hakiki. Pkp ni kalau dapat gred hakiki akan byk masalah dr segi perjawatan, terutamanya dasar sekolah satu sesi. Kalau dah semua sekolah jd satu sesi, pkp nak letak mana? Akan tturun pangkat sb dah tak de jawatan....gamaknya lah..
Kasihan pkp ye..kalau sekolah jadi satu sesi terpaksalah jadi guru biasa..
Catat Ulasan