Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
MARI kita hentikan sebentar isu Bersih 3.0 atau kemelut politik yang
sedang rancak sekarang ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Jika saya bertanya kepada anda bolehkah namakan 10 orang guru yang
pernah mengajar anda semasa belajar di peringkat pra sekolah hingga
tamat sekolah menengah?
Sekiranya anda boleh memberikan nama penuh ke semua orang guru itu
dan dapat membayangkan wajah mereka di minda maka anda dikira terdiri
daripada kategori orang cemerlang.
Tetapi andai kata tidak seorangpun nama guru yang diingati dan tidak
terbayang langsung wajah mereka maka anda bolehlah digolongkan dalam
kumpulan lemah memori atau golongan kurang cerdik kerana tidak prihatin
terhadap orang yang pernah mendidik dan tidak jemu-jemu menyampaikan
ilmu pengetahuan.
Tidak dapat dinafikan bahawa gurulah di antara orang yang banyak
berjasa kepada kita semua. Tanpa mereka mungkin hari ini kita tidak
pandai membaca, menulis atau mengira. Kerana merekalah minda kita
terbuka dan keluar dari kepompong dengan melihat jendela dunia dari
sudut yang lebih luas.
Guru dapat membantu seseorang untuk berjaya dalam mengejar cita-cita.
Guru berkesan kerap memberi bimbingan, mencabar keupayaan dan membakar
semangat anak muridnya supaya berani mencuba dan tidak mudah berputus
asa.
Menurut Wikipedia, ‘guru’ daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud
orang yang mengajar sesuatu ilmu. Hari ini ‘guru’ merujuk kepada
pendidik profesional dengan tugas utama mendidik, mengajar, membimbing,
mengarah, melatih dan menilai anak muridnya. Guru bertugas mulai
peringkat awal kanak-kanak hingga ke peringkat menengah atas.
Mereka mempunyai kelulusan dan kelayakan tertentu serta mendapat
latihan secara formal. Dalam melaksanakan tugas mengajar sama ada di
sekolah kerajaan atau swasta mereka perlu patuh kepada garis panduan
serta diikat dengan peraturan dan etika perguruan.
Bagi meningkatkan kualiti guru, Kementerian Pelajaran telah
menyediakan Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan panduan kompetensi
profesional yang seharusnya dicapai oleh guru. Oleh itu, institusi
dipertanggungjawabkan akan membantu guru bagi mencapai kemahiran yang
telah ditetapkan. Dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju melalui
Wawasan 2020 guru berperanan melahirkan modal insan yang kreatif,
inovatif, berpengetahuan, mahir ICT, menguasai ‘soft skills’ dan berdaya
saing.
Untuk mencapai hasrat itu latihan guru dimantapkan, mengetatkan
pemilihan bakal guru, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan
guru, menambah baik laluan kerjaya dan menjaga kebajikan mereka.
Di negara kita bilangan guru di sekolah kerajaan mencecah 400,000
orang yang berkhidmat hampir di 10,000 buah sekolah. Golongan ini boleh
dikatakan bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan mereka yang
berkhidmat di sekolah swasta atau sekolah agama rakyat.
Jika dibuat perbandingan mereka menerima gaji lebih tinggi, peluang
kenaikkan pangkat lebih banyak, kemudahan rawatan di hospital, skim
pinjaman perumahan dan kenderaan serta kemudahan persaraan. Satu lagi
kelebihan yang tidak disedari ialah peluang bertugas di tempat pilihan
sendiri. Ini disebabkan di negara kita terdapat institusi sekolah di
seluruh pelosok tanah air dan mungkin ada di antaranya menjadi pilihan
mereka.
Akibat perubahan zaman maka tugas guru masa kini adalah lebih
mencabar jika dibandingkan dengan masa lampau. Peranan guru sebagai
penyampai ilmu pengetahuan sebahagiannya telah diambil melalui
kecanggihan ICT.
Maklumat boleh didapati dengan cepat dan lengkap melalui Internet
serta bahan elektronik yang lain. Oleh itu, guru perlu bertindak bijak
dengan mendahului murid dari segi penguasaan ilmu pengetahuan. Mereka
perlu membuat persediaan awal dengan melakukan rujukan daripada berbagai
sumber sebelum berhadapan murid di bilik darjah.
Demikian juga persepsi ibu bapa terhadap guru turut berubah. Jika
masa dahulu ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah memberi kuasa penuh
kepada guru mendidik anak mereka termasuk membenarkan denda secara
fizikal sekiranya anak itu nakal atau tidak mematuhi arahan. Tetapi kini
keadaannya berlainan. Guru tidak boleh mendenda murid secara fizikal.
Di setengah sekolah guru dilarang memarahi atau mengeluarkan perkataan
kasar walaupun murid melakukan kesalahan. Mereka digalakkan memberi
nasihat atau bimbingan secara kaunseling.
Kerap kita mendengar ada ibu bapa yang mengambil tindakan
undang-undang atau memberi amaran kepada guru yang menghukum anaknya.
Lebih malang lagi ada murid yang mencalar kereta guru jika mereka tidak
suka kepada seseorang guru. Ini adalah sebahagian dilema yang dihadapi
oleh guru dalam menangani kerenah murid.
Selepas menamatkan latihan perguruan tidak semua guru dapat mengajar
di sekolah yang menjadi pilihan mereka. Ada di kalangan mereka
ditempatkan jauh di pedalaman atau di pulau-pulau terpencil. Cuba
bayangkan jika kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan elektrik dan
air sudah tentu ada di antara guru mengalami kejutan di tempat baru itu.
Dari segi tempat tinggal pula tidak semua sekolah menyediakan
kemudahan rumah guru. Ada yang terpaksa tinggal di bilik kecil yang
terdapat di bangunan sekolah. Ini disebabkan tidak terdapat rumah yang
boleh disewa dan lokasi sekolah pula jauh dari kawasan perumahan.
Sebagai penjawat jawatan awam mereka perlu akur dan patuh mengikut
perintah walau di mana mereka ditempatkan.
Tidak dapat dinafikan cabaran yang paling besar dihadapi oleh guru
ialah sikap negatif murid terhadap pengajaran guru. Tidak mudah untuk
menarik perhatian murid jika mereka sendiri tidak berminat untuk
belajar. Di samping itu guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mereka
mengikut tahap kebolehan murid.
Cuba bayangkan jika terdapat 40 murid dalam sebuah kelas guru
terpaksa kerap menyesuaikan pendekatan pengajaran agar semua murid dapat
menghayatinya. Sikap tidak minat belajar boleh membawa kepada ponteng
kelas dan ponteng sekolah.
Akibatnya kemajuan pelajaran akan terganggu dan boleh menyebabkan
gagal dalam peperiksaan. Bagi ibu bapa yang tidak memahami tingkah laku
anak lantas menyalahkan guru atas kegagalan tersebut.
Untuk membantu tugas guru maka ibu bapa perlu turut berperanan
mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka. Bimbingan dan tindak ikut
berterusan perlu dan tidak hanya menyerahkan tugas mendidik kepada guru.
Ibu bapa juga disaran menganggap guru sebagai rakan. Hubungan secara
bersemuka perlu kerap dilakukan terutama sekiranya terdapat sebarang
perubahan pada diri anak. Rasa setiakawan dengan guru perlu sentiasa
disematkan pada diri ibu bapa. Ambillah tindakan segera sekiranya
dihubungi oleh guru.
Sempena Hari Guru yang dirayakan setiap 16 Mei anda dicadang
mengirimkan sekeping kad ucap selamat kepada bekas guru yang pernah
mengajar anda atau yang sedang mengajar anak anda. Atau setidak-tidaknya
apabila bertemu mereka ucapkanlah ‘Selamat Hari Guru’ dan ‘Terima Kasih
Cikgu.’
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad
Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012